Masukkan kembali dua stesen di Tumpat dalam jajaran ECRL

Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Che Abdullah Mat Nawi
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tumpat meminta Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan semula untuk memasukkan Stesen Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubor dalam jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, projek itu yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026, mengalami tiga kali perubahan jajaran akibat perubahan tampuk pemerintahan negara.

- Advertisement -

Beliau melahirkan perasaan terkilan kerana pada tahun 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menyisihkan Stesen Pengkalan Kubor dan Wakaf Bharu di Tumpat serta Stesen Jelawat di Bachok yang sangat penting demi masa depan rakyat Kelantan.

“Dengan mengenepikan permainan politik dan penipuan terhadap rakyat serta selaras dengan penumpuan yang serius untuk menggandakan pertumbuhan negeri yang dikatakan kurang membangun dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), saya mengharapkan kerajaan hari ini dapat mempertimbangkan semula memasukkan Stesen Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubor berdasarkan rancangan jajaran asal ECRL,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Bercakap ketika membahaskan RMK-12, katanya ECRL sangat penting bagi memastikan limpahan pembangunan kesan sepanjang laluan itu, selain memenuhi keperluan rangkaian pembangunan yang menghubungkan bandar dan luar bandar.

Bagaimanapun, katanya kerajaan perlu memastikan laluan yang dipilih tidak melibatkan kawasan perumahan padat yang boleh menyusahkan rakyat.

Che Abdullah berkata, kerajaan PH sebelum ini mendakwa berjaya menurunkan kos pelaksanaan ECRL, tetapi sebenarnya hanya mengurangkan stesen ECRL dan memendekkan landasan, sekali gus memangsakan kawasan yang sepatutnya dibangunkan atau lebih tepat, memangsakan rakyat Kelantan.

Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana menyelesaikan kemelut air di Kelantan yang berterusan sejak tahun 1990-an.

“Peruntukan RM7 bilion yang pernah disebutkan oleh kerajaan sebelum ini sangat penting, manakala Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memberikan tempoh hingga tahun 2030 bagi memastikan isu air di Kelantan dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan projek air di Kelantan melibatkan pembinaan empangan baharu, penggantian paip air usang yang mencecah usia 40 tahun dan difahamkan, melibatkan rangkaian paip air sepanjang lebih 5,000 kilometer di seluruh negeri. – HARAKAHDAILY 29/9/21

- Advertisement -