Muktamar PAS 67: Ujian kekuasaan merencah 7 dekad perjuangan

Foto hiasan
- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

- Advertisement -

PAS sebagai harakatul ummah tanah air terus memicu perhatian masyarakat dalam dan juga luar negara, tujuh dasawarsa bergulat dengan lapangan dakwah, tarbiah dan juga siasah.

Keahliannya sentiasa membesar walau pelbagai tuduhan dan naratif buruk cuba disandingkan dengan jamaah ini, kesilapan kecil pimpinannya akan terus diratib dan menjadi objek pemberitaan.

Hujan November musim tengkujuh ini, juga dengan jerebu pandemik kovid 19, muktamar tanpa pemerhati luar, tanpa jajaran gerai jualbeli dan pameran.

Segalanya menjadi asing dan nadir bagi kita ahli PAS kerana muktamar biasanya seperti hari raya bagi kita semua.

Jumlah petugas juga terhad, anggota Jabatan Amal juga mengecil, saringan kesihatan dibuat rapi agar tak muncul pasca muktamar ini, “kluster muktamar” yang akan dijadikan bahan untuk mentertawakan PAS.

Walau bagaimana pun, himpunan ratusan pimpinan PAS pelbagai peringkat di beberapa lokasi himpunan sekitar bandar Kuala Terengganu kali ini penuh dengan lonjakan semangat yang menggebu untuk melihat daripada dekat perjalanan acara tahunan yang paling berprestij kepada harakatul ummah ini.

Muktamar adalah medan ukhuwwah yang mengikat tali hubungan antara pimpinan dan ahli, berbezalah pandangan namun ukhuwwah jangan dileraikan kerana prasyarat kemenangan Islam ialah ukhuwwahfillah.

Robohnya ikatan ini akan menghantar gerakan Islam ke jurang berantakan yang akan menyirnakan kekuatan. Cukuplah perpecahan akibat sikap egois dan perpuakan dalam bahtera besar perjuangan Islam yang juga berlaku kepada gerakan Islam yang lain diluar negara.

Muktamar kali ke 67 ini juga dalam kondisi PAS kali kedua menjadi rakan kongsi pentadbiran Persekutuan dan juga menguasai tiga buah negeri jantung hati orang Melayu.

Pimpinan PAS berada di pentas utama, ada yang menggalang jawatan Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar dan jawatan strategik dalam memposisikan PAS sebagai pemain politik yang mempunyai variasi pengalaman.

PAS dengan keahlian yang pelbagai, juga dengan jalur berfikir yang rencam maka perbedaan pandangan bukanlah satu perkara yang pelik.

Ditambah dengan fenomena budaya media sosial yang membuka ruang kritikan, ruang argumen seluas mungkin maka PAS menjadi subjek popular yang dibincangkan sama ada positif atau pun negatif.

PAS selain daripada menjadi subjek popular warga siber, juga tetap menjadi mandraguna stesyen TV, radio dan media cetak di zaman kerajaan Perikatan Nasional.

PAS berada dalam koalisi besar pemuafakatan pentadbiran negara, dengan sedikit kesilapan sahaja maka akan menatijahkan kesan yang besar. Ucapan dan tulisan pimpinan PAS ditunggu dalam apa jua situasi untuk dilencongkan atau dimanfaatkan.

Muktamar PAS di zaman siber ini, bahkan zaman di serambi kuasa ini, walaupun jauh berbeda dengan puluhan tahun yang lampau, namun aspirasinya tetap sama iaitu membedah organisasi dalam tempoh penggal setahun.

Muktamar bukanlah medan untuk mengampu pemimpin, mengkultuskan tokoh dan klik dewaan, juga bukan medan membaling kerusi seperti yang terjadi kepada parti konvensional yang lain. Watak dan karektor PAS sebagai gerakan Islam tidak boleh berubah walaupun pendekatannya boleh luwes dan anjal.

Muktamar PAS bukan sahaja medium Presiden untuk mentarjih perjalanan harakatul ummah ini melalui ucapan dasar Presiden kali ini yang bertajuk ‘ Islam Memperkukuh Perpaduan’.

Ruang ini juga para perwakilan akan menilai keupayaan pimpinan pusat yang telah mereka lantik pada muktamar lepas di Kuantan.

Pandemik yang melanda negara dan mendunia ini sedikit sebanyak merencatkan aktiviti PAS disemua peringkat, sejak bulan Februari 2020 seterusnya PKP bermula 18 Mac tahun lepas wabak Covid-19 menggerhanakan pergerakan amilin PAS.

Lebih 25 ribu nyawa telah kembali ke rahmatullah sejak pandemik ini melanda tanah air, tak kurang pula amilin PAS yang telah masuk dalam senarai kematian!

Muktamar juga adalah medan membedah organisasi melalui laporan muktamar, sejauh mana lajnah-lajnah berperanan yang melambangkan kompetensi seseorang pimpinan pusat mengurus amanah.

Menjadi pimpinan bukan semata-mata dengan daya tarikan skill pengucapan awam tetapi kebijakan menggerakkan organisasi dan potfolio yang diamanahkan.

Muktamar kali ke 67 ini adalah muktamar terakhir sebelum PRU 15, perwakilan mestilah melontarkan idea-idea yang baik, berseberangan idea dengan pimpinan bukanlah satu dosa digelanggang muktamar.

Berhujjahlah dengan penuh fakta dan berisi, bukan membazirkan masa pendengar yang sangat berharga. Muktamar tahun ini sangat signifikan kerana perwakilan akan memilih saf Kepimpinan, mereka yang paling kompeten dan piawai untuk mengemudi perjalanan PAS.

Tiada istilah main-main dalam memilih pimpinan kerana pundak mereka akan tergalas beban amanah besar dalam melaksanakan matlamat perjuangan PAS.

Semoga usai muktamar ini, maka semangat serta energi kita bertambah dan pengaruh kita merambah, genggamlah tangan berpadu tenaga, berderapan kita melangkah gagah dijalan juang yang berkah ini.

Penulis ialah AJK PAS Pusat dan Pengerusi LESTARIHARAKAHDAILY 29/9/2021

- Advertisement -