Kelayakan kredit golongan B50 harus terus dibantu

- Advertisement -

LAJNAH Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat berpandangan langkah Kerajaan mengarahkan institusi kewangan mengecualikan bayaran kadar faedah kepada semua moratorium pinjaman yang diberikan adalah tepat.

Kementerian Kewangan (MOF) telah menyatakan bahawa arahan tersebut adalah untuk semua pinjaman golongan B50 untuk tempoh suku ke empat 2021. Langkah ini amat positif bagi membantu aliran tunai terutama bagi golongan B50.

- Advertisement -

Namun kami juga berpandangan bahawa langkah pengecualian ini seharusnya tidak menjejaskan kelayakan kredit (credit worthiness) golongan B50.

Penilaian kelayakan kredit golongan ini haruslah dilakukan dengan asas kes demi kes (case by case) berdasarkan kelayakan spesifik mereka dan tidak dipinggirkan (marginalise) ke dalam satu longgokkan.

Justeru profil risiko B50 seharusnya tidak berubah dan bank seharusnya membuat pertimbangan wajar (due diligence) berdasarkan kelayakkan spesifik setiap pemohon daripada golongan B50. Ini penting bagi memastkan B50 kekal layak untuk memohon pinjaman dan kos pinjaman mereka kekal pada tahap optimum dan mampu kepada golongan B50.

Namun begitu risiko sistemik (systemic risk) langkah ini kepada keseluruhan sistem perbankan Malaysia harus juga diperhatikan.

Ini lantaran ulasan pasaran dan penafaran yang dikeluarkan oleh S&P Global Ratings yang meletakkan unjuran menurun kepada penarafan beberapa bank utama Malaysia, disebabkan situasi semasa pasaran.

S&P juga meramalkan nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) akan mencecah 3% sehingga 4% dan kos pinjaman (credit cost) kekal pada 50 hingga 60 mata asas (bps) setahun untuk 2021 hingga 2022.

Walaupun langkah pengecualian bayaran faedah untuk moratorium pinjaman dijangka memberi kesan sekitar 7% kepada keuntungan bank-bank, kami yakin bahawa keseluruhan sistem perbankan negara mampu kekal utuh berdasarkan saiz kecairan (liquidity) semasa sistem perbankan.

Ini disokongkan juga oleh S&P berdasarkan ramalan mereka bahawa tahap deposit semasa negara kekal kukuh untuk 12 hingga 24 akan datang, disokong oleh kadar tabungan yang tinggi iaitu sekitar 30% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).

Untuk memastikan sektor perbankan kekal berdaya tahan dan kompetitif kami juga mencadangkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) agar kadar Keperluan Rezab Berkanun (SRR) dikekalkan pada 2% agar kapasiti kecairan (liquidity) bank-bank kekal optimum.

Disamping itu inisiatif BNM yang membenarkan institusi kewangan menggunakan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Keluaran Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) sebagai alternatif kepada SRR juga harus dikekalkan untuk tempoh ini.

Langkah ini telah menyediakan kecairan sekitar RM30 billion ke dalam sistem perbankan Malaysia. Ini akan mampu untuk terus membantu institusi kewangan kekal berdaya saing untuk terus membantu golongan B50.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi 2
Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan, PAS Pusat – HARAKAHDAILY 28/9/2021

- Advertisement -