Keluarga mawaddah, rahmah sumbang kemakmuran rakyat

Oleh SITI AISYAH ABDULLAH

KUDAT:
Terbinanya keluarga yang kukuh menjamin kesejahteraan masyarakat, kata Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah (DMPNS), Norsah Bongsu.

Katanya, konsep keluarga mawaddah dan rahmah pula menyumbang kepada kemakmuran rakyat sesebuah negara.

Advertisement

Beliau berkata demikian pada Seminar Keluarga Mawaddah dan Rahmah, semalam.

“Kami berharap dengan seminar ini, peserta dapat membina serta mengukuhkan lagi hubungan antara suami, isteri dan ahli keluarga,” ujarnya.

Katanya, masyarakat seharusnya mengetahui dengan jelas makna, hukum serta tujuan perkahwinan dan dapat menghidupkan keluarga sunnah.

“Saya berharap peserta dapat menyumbangkan idea dan pandangan demi mengukuhkan konsep keluarga Muslim dan ke arah Malaysia yang sejahtera,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Lajnah Pembangunan Wanita dan Keluarga (LPWK) DMPNS, Kastieya Pudding berkata, seramai 110 peserta dari 15 kawasan seluruh Sabah telah menyertai seminar yang julung kali diadakan tui.

Menurutnya, seminar anjuran LPWK serta Lajnah Dakwah DMPNS itu dilaksanakan secara bersiri, disampaikan oleh penulis buku Keluarga Mawaddah dan Rahmah, Ustaz Dr Hamdan Muhammad.

Seminar yang bertemakan Keluarga Sunnahku, Anugerah Ilahi itu menyasarkan muslimin dan muslimat dalam kalangan ahli PAS dan dilaksanakan secara dalam talian melalui aplikasi zoom. – HARAKAHDAILY 27/9/2021