PAS tentang judi: Mari kita buat ulangkaji

- Advertisement -

SAYA tidak memandang sangat serangan dari musuh PAS dalam hal ini, kerana, jika kita berjaya melakukan sepenuhnya kehendak Allah sekalipun, mereka tetap akan mencari kesalahan PAS. Saya juga tidak mahu menghalang kemarahan penyokong PAS dalam bab ini. Jelas semangat mereka yang cintakan Allah amat kuat, membenci judi, kerana salah satu dosa besar. Semoga Allah memberkati usaha mereka semua ini.

Cumanya saya hanya tertanya-tanya apakah tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh pimpinan PAS, jika benar penyokong PAS amat marah dengan keadaan PAS sekarang yang berada bersama dalam barisan Kabinet kerajaan yang meluluskan cabutan judi ini sekarang. Agak sukar juga kan? Kalau begitu, saya rasa elok kita lihat sedikit ke belakang bagi menilai tindakan ini, sama ada PAS menentang atau menyokong judi.

- Advertisement -

Fakta paling utuh yang menyatakan bahawa PAS menentang judi ialah apabila dua buah negeri yang dikuasai PAS dengan majoriti melebihi dua pertiga, Kelantan dan Terengganu, telah mengharamkan judi menggunakan kuasa politik yang ada. Walau Kerajaan Terengganu bertukar tangan, judi tetap tidak dibenarkan beroperasi di Terengganu sehingga PAS menang kembali. Kelantan alhamdulillah, masih kekal bersama PAS. Fakta ini, tiada yang boleh menafikannya. Tiada negeri lain yang mengambil tindakan seperti ini.

Jika kita bergerak ke belakang lagi, PAS pernah berada dalam Kerajaan Perikatan dan BN sekitar tahun 1973 hingga 1977. Waktu itu, Loteri Kebajikan Masyarakat dan juga Kasino Genting Highland telah beroperasi sekitar tahun 60-an. PAS jelas menentang sebarang bentuk perjudian walau dalam kerajaan. Ada dengan cara dalaman. Melalui sayap Pemuda, PAS menentang bukan sahaja judi, malahan juga dosa lain. Sehingga pub yang menyediakan arak di Parlimen ditutup kerana desakan PAS.

Yang menuduh kata PAS diam, tidak membantah judi itu, sebab mereka tidak tahu atau buat-buat tidak tahu. Meskipun judi tetap berjalan walau dibantah, tetapi paling kurang rancangan membesarkan kasino di Genting, tidak berjaya dilakukan kerana PAS menentang semasa dalam kerajaan. Menurut catatan Dr Fadli Ghani dalam Memoir Hassan Shukri – 1, PAS turut ditawarkan wang sebanyak RM2 juta (senilai RM20 juta kini) oleh ‘tauke’ judi, bagi membenarkan pembesaran itu, tetapi ditolak pimpinan PAS.

Habis, kenapa PAS tidak keluar dari BN? Sebab alasan PAS menerima pelawaan Tun Razak waktu itu adalah kerana mengukuhkan perpaduan kaum dan agama bagi menyelamatkan negara yang baharu pulih dari kekacauan dan pembunuhan kaum. Isu ini lebih utama sambil menangani isu-isu lain.

PAS nampak ada benda lain yang boleh dimanfaatkan ketika berada dalam kerajaan. Beberapa hal seperti pemantapan berkenaan bab akidah dan hidangan arak dalam majlis kerajaan, tinggalan British, dapat dihapuskan, mengurangkan aktiviti hiburan, menubuhkan YADIM dan banyak lagi. PAS mengambil dahulu peluang yang ada untuk Islam. Tidak boleh buat semua, jangan buang semua. Begitu lah prinsip PAS sejak dahulu dan anda semua tahu.

Kita ke hadapan sedikit. Sewaktu PAS menambah dua negeri yang berjaya dikuasai iaitu Kedah dan Perak pada tahun 2008, sekali lagi isu judi timbul. Kedah yang dikuasai majoriti kerusi PAS, tetapi bukan dua pertiga, serta Perak yang PAS hanya ada beberapa kerusi, tetapi diberikan jawatan Menteri Besar. Keduanya tidak mengharamkan judi sebagaimana Kelantan dan Terengganu, sehingga lah tamat pemerintahan masing-masing. Perak dirampas dan Kedah dikalahkan dalam PRU.

Ketika itu, BN dianggap sebagai musuh utama yang perlu dijatuhkan atas persetujuan kerjasama Pakatan Rakyat (PR). Keuntungan bagi PAS, boleh menggerakkan Islam dengan lebih luas. Jadi meruntuhkan pakatan kerana isu judi, dilihat tidak boleh dilakukan mendadak ketika itu kerana katakan lah BN menang kerana perpecahan PR, judi tetap akan ada. Dan terbukti, setelah mengambil alih pemerintahan, Kedah dan Perak tetap mengekalkan judi. Bezanya penekanan agama mereka, tidak sekuat PAS lakukan.

Semua orang tahu bahawa PAS tidak banyak kerusi, hanya minoriti. Manakala portfolio kementerian lain, bukan di bawah PAS. Boleh dibantah dalam mesyuarat, tetapi keputusannya, tetap secara majoriti. Jadi, patut kah PAS keluar dari kerajaan dan langsung tidak dapat memberikan kebaikan kepada Islam atau kekal dahulu, sambil mengambil apa-apa yang menguntungkan Islam?

Kita sudah lama khatam berkenaan pelajaran menyokong mana yang membawa mudarat yang sedikit kepada Islam, jika kita hanya minoriti dan bukan berkuasa penuh. Sekarang, jika kita menarik diri dari kerajaan, mungkin ada yang akan berkata, kita tidak menentang semua, bukan kita tarik diri terus, tapi tidak setuju kerana judi sahaja. Jadi apa bezanya? Kita tetap menyokong kerajaan yang membenarkan judi. Kerajaan juga tidak akan jatuh jika kita keluar terus sekali pun.

Dan berkemungkinan juga PH akan kembali berkuasa mengambil apa-apa kesempatan kerana muafakat ini runtuh. Apa jaminan judi dihapuskan PH? Keutamaan sekarang ialah menghalang PH dari berkuasa. Dan, harus diingat yang musuh juga ada otak yang sentiasa ligat bekerja. Kita berstrategi, mereka juga berstrategi. Tidak akan ada perjanjian yang hanya menguntungkan kita atau ikut kehendak kita sahaja, tidak ada. Apa lagi ketika kita kurang kuat.

Kesimpulannya, PAS sudah mengalami semua keadaan, iaitu menentang judi dari luar sebagai pembangkang, menentang judi dari luar dan dalam ketika menjadi sebahagian Kerajaan Pusat dahulu dan sekarang. Menangguhkan dahulu pengharaman judi ketika tiada kuasa dua pertiga dalam Kerajaan Perak dan Kedah. Mengharamkan terus judi di Kelantan dan Terengganu ketika ada kuasa dua pertiga. Mana ada parti atau kerajaan yang mengaku Islam, melakukan semua ini seperti PAS lakukan? Kita bertindak sesuai kekuatan kita.

Jadi tuduhan PAS bersetuju dengan judi adalah tuduhan dari musuh PAS yang tidak akan diam mencari salah PAS, walau PAS menyempurnakan hak Allah. Hanya tinggal kepada anda penyokong PAS, mahu percaya atau tidak dengan tuduhan itu. Lihat sekali lagi sejarah semua ini dan anda dapati, anda masih berada dalam PAS kerana keyakinan anda kepada keputusan pimpinan PAS sebelum ini. Ya ia telah berlaku sebelum ini, hanya sahaja anda yang mungkin tidak sedar sejarah itu.

Tuduhan bahawa PAS takut kehilangan jawatan, ia hanya lah ulangan lawak lama yang tidak lucu. Jika PAS mahukan jawatan, PAS akan duduk bersama BN ketika mereka berkuasa dahulu. Jika PAS mahu gaji besar sebagai Menteri, baik duduk bersama PH sewaktu mereka mempunyai kuasa selama 22 bulan dahulu. Dasar PAS tidak berubah, yang berubah hanya lah strategi dan waktu bila strategi itu akan dimulakan. PAS ialah parti politik Islam, bukan parti ‘tupperware’.

Pimpinan PAS adalah golongan yang cerdik. Kita sebagai ahli bersetuju, sebab itu perwakilan memilih mereka. Tetapi apabila tiba keadaan yang tidak kena dengan selera kita, kita seolah-oleh anggap mereka perlu diajar oleh kita. Kita juga masih kuat kepercayaan terhadap hasutan musuh kita yang memfitnah pimpinan kita? Pimpinan mereka langsung tidak buat apa-apa dengan judi sewaktu ada kuasa penuh sebab memang tidak ada agenda Islam yang kuat.

MOHD NASIR ABDULLAH
27 September 2021 – HARAKAHDAILY 27/9/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -