Penghulu diarah jejak penduduk belum divaksin

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bagi mencapai imuniti kelompok, kerajaan negeri mengarahkan lebih 900 penghulu di Kelantan supaya mengenal pasti individu yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kerjasama daripada kepimpinan akar umbi amat diperlukan dengan harapan imuniti kelompok 80 peratus daripada populasi penduduk tercapai.

Katanya, kerajaan negeri menyedari peningkatan tersebut berpunca daripada pengabaian orang ramai terhadap pematuhan SOP ditetapkan, walaupun sudah menerima lengkap dua dos vaksin Covid-19.

“Ada sebahagian rakyat kita belum vaksin, sebab itu kita minta penghulu sebagai barisan hadapan untuk meningkatkan lagi usaha mencari dalam mukimnya siapa lagi belum divaksinkan.

“Isu besar sekarang ialah sebahagian besar yang lengkap dua dos tidak mematuhi SOP, dia beranggapan tiada masalah lagi dan tidak ambil berat pasal peraturan, jadi ini antara sebabnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Usahawantani al Falah peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Panchor hari ini.

Mengenai guru Yayasan Islam Kelantan (Yik) yang didakwa menolak vaksin Mohd Amar juga berkata mereka sudah dipanggil kerajaan negeri.

Menurut beliau, kedua-dua belah pihak sudah mengadakan pertemuan dan perbincangan, respon diberikan tenaga pengajar terbabit sangat positif bagi menyelesaikan masalah itu.

“Mereka sudah dipanggil dan kita mengadakan perbincangan, jadi maklum balas mereka nampak baik, kita harap insyAllah boleh diselesaikan.

“Pada asasnya mereka faham, kenapa kita perlu vaksin, kita minta dengan baik supaya mereka beri kerjasama, jadi kita harap boleh selesai kerana kerajaan mula beri vaksin secara walk-in,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/9/2021

- Advertisement -