PAS Negeri Sembilan ramai penyokong senyap

- Advertisement -

Mukadimah

PAS di Negeri Sembilan bukan kuasa politik besar. Bagaimanapun, senario politik mutakhir meletakkan PAS sebagai parti yang penting. Peranan PAS di Tanah Beradat ibarat gam yang menyatukan perhubungan tiga parti berasaskan Melayu-Islam, PAS-Umno-Bersatu untuk berdepan parti Pakatan Harapan (PH), PKR-DAP-Amanah yang kini memerintah Negeri Sembilan. Ikuti pandangan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Tuan Haji Rafiei Mustapha, kepada wartawan Harakah Daily, ZIAUDDIN SHARUDDIN, mengenai senario politik dan pentadbiran Negeri Sembilan. Mantan Pengetua Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, berpengalaman luas dalam dunia pendidikan, iaitu mulai tahun 1976 hingga bersara pada 2011 dan kemudian berkhidmat di sektor swasta. Berumur 68 tahun, lulusan Master Sains Universiti Putra Malaysia (UPM) juga menyandang jawatan Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Pilah.

- Advertisement -

Boleh Tuan Haji terangkan serba sedikit PAS Negeri Sembilan (NS)?

PAS Negeri Sembilan (NS) mempunyai 8 kawasan, iaitu mengikut jumlah kawasan Parlimen di NS, iaitu Seremban, Rasah, Port Dickson, Kuala Pilah, Tampin, Jelebu, Jempol dan Rembau. Ini bermakna dari segi organisasi, kita mempunyai 8 Yang Dipertua PAS.

Di peringkat pentadbiran negeri, kita ada Badan Perhubungan PAS seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan. Saya sendiri sebagai Pesuruhjaya PAS dan di bawah saya ada 3 Timbalan Pesuruhjaya. Organisasi diuruskan oleh Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS dan kita ada Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan 3 Ketua Dewan, iaitu Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat yang membentuk Dewan Harian PAS NS. Dari segi pengurusan, kekuatan sudah lengkap. Walaupun dilihat belum berjaya membentuk kerajaan atau menang dalam pilihan raya, dari segi struktur organisasi, kita boleh katakan lengkap.

Dari segi keahlian, bilangan ahli kita tidak ramai, iaitu kira-kira 20,000 orang. Bagaimanapun, kalau kita lihat bilangan yang menyokong PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kita pun terkejut. Kita melihat bilangan penyokong PAS adalah dua kali ganda lebih besar daripada jumlah ahli PAS.

Jadi di sini, kita membuat kesimpulan bahawa di kalangan masyarakat walaupun mereka bukan ahli PAS, bukan bermakna mereka tidak menyokong perjuangan PAS seperti yang dibuktikan dalam PRU-14 dan juga PRU sebelum ini. Kita lihat penyokong PAS bukan hanya ahli PAS, tetapi daripada kalangan mereka yang menyokong prinsip perjuangan yang dibawa oleh PAS yang mahu memartabatkan Islam.

Dalam PRU-14, PAS bertanding di semua 8 kawasan Parlimen dan 27 Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi kalah di semua kawasan. Boleh tuan terangkan senario yang menyebabkan keadaan itu berlaku?

Sebenarnya pada masa itu berlaku pertembungan 3 penjuru di hampir semua kawasan. Kita berdepan Umno dan pada masa sama, melawan Pakatan Harapan (PH). Kalau ditanya mengapa kalah di semua kawasan, saya rasa sebab utamanya ialah pertembungan 3 penjuru. Oleh kerana PAS memang kita ketahui dari segi bilangan ahli belum lagi mampu untuk menang secara meyakinkan di mana-mana kawasan. Bagaimanapun sepanjang pengalaman PAS bertanding, walaupun kalah, kita tak pernah hilang wang pertaruhan.

Sebenarnya dalam PRU-13, PRU-12 dan sebelumnya, kita tidak bertanding di semua kawasan Parlimen atau semua DUN. Maknanya, kita beri tumpuan kepada kawasan tertentu yang PAS ada potensi menang. Walaupun tak menang, PAS tetap memberi saingan sengit. Ketika itu, pertandingan dalam PRU adalah antara kita dan Umno.

Bagaimanapun dalam PRU-14, kita berdepan senario baharu. Seperti yang kita ketahui PH menggunakanlah pendekatan kononnya kerajaan ketika itu mengamalkan kleptokrasi dan rasuah. Pada masa itu kita lihat, rakyat termakan dengan dakwaan itu dan menolak Umno. Kita mengharapkan apabila rakyat menolak Umno, sekurang-kurangnya boleh menerima PAS, tetapi oleh kerana begitu kuat sekali kepercayaan rakyat sehingga bukan sahaja menolak Umno, malah menolak PAS dan memilih PH. Ini adalah suatu keadaan luar biasa yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Bagaimana pula dengan manifesto PH yang dilihat menjanjikan bulan dan bintang. Adakah ini turut memberi kesan kepada PAS?

Manifesto PH memang menjanjikan segala bulan dan bintang, tetapi akhirnya terbukti bahawa janji itu gagal. Bagaimanapun sudah terlambat, rakyat telah membuat pilihan. Sebagai contoh, antara janji PH ialah menghapuskan PTPTN. Ini memang memberi keyakinan kepada pengundi. Walaupun sebahagian pelajar universiti tidak mengundi, mereka balik ke kampung dan mempengaruhi ibu bapa, keluarga, saudara mara. Kalau PH menang, PTPTN hapus, hutang belajar saya hapus.

Ini yang sebenarnya memberi kesan cukup besar dan meyakinkan pengundi. Ibu bapa beritahu terus terang, kali ini nak bagi undi kepada PH sebab anak saya kata kalau PH menang, PTPTN akan dihapuskan. Ini belum lagi dengan janji seperti menghapuskan bayaran tol dan mengurangkan harga minyak. Semua ini memberi kesan cukup besar kepada pengundi. Mereka tolak kerajaan BN dan Umno. Pada masa sama jika mereka berikan undi kepada PAS, belum tentu PH akan menang.

Bagaimanapun, pengundi memilih PH dengan harapan apabila PH membentuk kerajaan, dengan sendirinya segala harapan mereka dan janji yang dibawa oleh PH menjadi kenyataan. Itu sebenarnya menyebabkan PH menang dan itu juga antara sebab kerajaan PH jatuh selepas 22 bulan memerintah kerana tidak mampu melaksanakan janji mereka dalam manifesto.

Ini diakui oleh pemimpin PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, malah DAP sendiri mengakui PH gagal kerana tidak dapat melaksanakan apa yang dijanjikan. Bukan kah selepas itu keluar kenyataan seperti manifesto bukan al Quran dan manifesto bukan kitab suci. Jadi kita nampak bahawa PH memang menggunakan janji manis, menggula-gulakan rakyat, tapi selepas itu rakyat sedar penipuan yang berlaku.

Sebab itu, sekarang senarionya berbeza. Ini bukan isu yang cuba kita mainkan atau ada-adakan, tetapi realitinya memang begitu. Rakyat menilai kegagalan kerajaan PH selepas diberi peluang 22 bulan memerintah. Kebanyakan manifesto mereka tak dapat tunaikan. Ini menyedarkan rakyat, rupa-rupanya mereka silap membuat pilihan dalam PRU- 14, tapi nak buat macam mana sebab masa itu, PAS pun menjadi mangsa.

Walaupun kalah semua kerusi dalam PRU-14, PAS sebelum ini pernah menang kerusi Dun Paroi?

Ya, PAS pernah menang sekali pada PRU-12. Kemenangan itu adalah kerana prinsip ketika itu. Itu lah kalau kita hendak nilai berdasarkan bilangan ahli, kita tak yakin boleh menang. Bagaimanapun PAS menang atas dasar prinsip perjuangan. Di Paroi, kita bawa prinsip yang jelas. Walaupun hanya satu kerusi, PAS sebagai pembangkang dapat mengetengahkan idea dengan peranan sebagai `check and balance’. – Ikuti wawancara penuh dalam Harakah Cetak

- Advertisement -