TEMERLOH: Abrar Care Malaysia (ACM) telah menziarahi ahli keluarga Almarhum Ustaz Muhammad Solehin Abdul Khalid yang meninggal dunia akibat COVID-19 baru-baru ini di kampung halamannya di Batu 1, di sini semalam.
Pengerusi Abrar Care, Ustaz Roslan Md Esa mengetuai rombongan sukarelawan ACM itu hadir menyerahkan dana sumbangan orang ramai berjumlah RM10,000 kepada ibu saudara Almarhum, Zalizan Ishak.
Almarhum, 22 tahun, anak sulung daripada lima adik-beradik menghembus nafas terakhir pada jam 10 pagi, 9 September lalu merupakan pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Dar Al-Abrar (ABRAR) Bentong.
Menurut Ustaz Roslan, usai tamat pengajian, Almarhum dipanggil berkhidmat dan bertugas di ABRAR sebagai guru hafiz.
“Beliau anak tunggal lelaki dalam keluarga. Apabila ayahandanya sering tidak sihat beliau tekad tangguh kerja di ABRAR bagi berkhidmat untuk ayahandanya.
“Ayah beliau adalah Imam di Masjid Batu 1, Temerloh. Dalam tempoh ayahnya tidak sihat, almarhumlah pengganti ayahandanya menjadi imam di masjid tersebut,” ujar Roslan.
Luah Mudir ABRAR itu, ketika pagi hari pemergian, beliau telah membuat panggilan telefon kepada Almarhum, tetapi tidak sempat untuk mendengar suaranya buat kali terakhir apabila jururawat bertugas memaklumkan bahawa Ustaz Bob telah kembali ke rahmatullah.
“Ya, ajal maut di tangan Allah. Ia tiba tidak tercepat atau terlambat walau sesaat. Sayang macam mana pun kita pada seseorang, baik macam mana pun dia, bila Allah kata dah tiba masa dan gilirannya untuk pulang, tiada sesiapa boleh menghalang atau menangguhkannya.
“Ustaz Soleh ni, panggilan mesra di kalangan kami ‘Bob’, merupakan salah seorang anak murid dan kakitangan yang sangat saya dan guru-guru serta para pelajar sayangi dan senangi.
“Pemergian Almarhum suatu kehilangan besar pada keluarga beliau, warga ABRAR dan masyarakat yang mengenali sumbangan dan khidmat bakti beliau. Kami semua redha atas pemergiannya.
“Semoga Allah S.W.T mengampuni, merahmati, dan menempatkannya bersama orang-orang soleh. Moga syahid buatmu sahabat, bertemu bidadarimu di syurga,” luah Roslan sayu dan akan merindui suara Almarhum yang lemak merdu melaungkan azan.
Almarhum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pengkalan Manggis, Temerloh pada petang 9 September lalu. – HARAKAHDAILY 21/9/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!