Dialog isu Jawi: Rumusan baik, namun DJZ angkuh 

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengikuti rapat dan menyambut baik inisiatif Kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator P Waythamoorthy mengadakan mesyuarat tertutup dan sesi dialog dengan pihak-pihak berkepentingan bagi membincangkan isu pembelajaran Jawi di sekolah vernakular semalam. Ini konsisten dengan pendirian Parti Islam Se-Malaysia (PAS) supaya sesi dialog diadakan melibatkan semua pihak bagi mencapai solusi terbaik dan mengelakkan konflik berpanjangan dalam isu ini.

- Advertisement -

Melalui 5 rumusan hasil mesyuarat tersebut yang dibacakan oleh Prof. Awang Sariyan Hussein, semua pihak dilihat telah mencapai kata sepakat dan bersetuju untuk membincangkan isu ini dengan harmoni. DPPM menyambut dan menyokong penuh rumusan ini, khususnya pada rumusan keempat, iaitu semua pihak hendaklah menghentikan provokasi dalam isu tersebut. Kami percaya isu ini mampu diselesaikan secara berhemah jika semua pihak bekerjasama dan meletakkan perpaduan serta semangat Perlembagaan sebagai tunjang utama.

Walaubagaimanapun, DPPM menzahirkan kekesalan yang teramat dan mengecam keangkuhan pertubuhan Dong Zong dan Jiao Zong yang tidak menghadiri mesyuarat ini. Umum mengetahui Dong Zong adalah punca kepada segala konflik dan permasalahan yang timbul berkenaan isu pembelajaran Jawi, sehingga mengundang konflik antara kaum. Sepatutnya Dong Zong dan Jiao Zong turut hadir membincangkan isu ini bersama, bukan menunjukkan sikap besar kepala mereka. Lebih mengejutkan, Dong Jiao Zong ingin mengadakan dialog mereka sendiri dan menjemput Kerajaan pula untuk menyertai dialog mereka! 

DPPM memberikan amaran kepada Dong Jiao Zong supaya tidak terus memarakkan provokasi dan ketegangan dalam isu pembelajaran Jawi di sekolah vernakular. Berhenti bersikap angkuh dan ego, selesaikan perkara ini secara bersama. Jika Dong Jiao Zong masih ingin meneruskan keegoan mereka, DPPM mengingatkan bahawa masyarakat lain juga ada ego mereka sendiri dan konflik ini akan terus berlarutan sehingga mampu memecahbelahkan perpaduan.

DPPM sekali lagi menegaskan pendirian kami supaya Dong Jiao Zong diharamkan terus dari Malaysia kerana sikapnya yang angkuh, anti-Perlembagaan dan menggugat perpaduan negara. DPPM percaya isu ini akan reda dan berjaya diselesaikan dengan baik sekiranya Dong Jiao Zong diharamkan, dan perbincangan antara semua pihak berkepentingan yang ikhlas demi generasi kita diteruskan dengan baik berasaskan Dasar Pendidikan Negara dan semangat Perlembagaan Persekutuan

“Islam Memimpin Perpaduan”

IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 8/1/2020

- Advertisement -