Bengkel wartawan buka peluang kepada ejen penerangan

- Advertisement -

Oleh SUZIELA SALLEH

KOTA BELUD:
Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Negeri Sabah mengadakan Bengkel Wartawan Rakyat selama dua hari bermula hari ini bagi membuka peluang dan pendedahan kepada semua ahli PAS untuk menulis berita secara efektif. 

Program itu mendapat sambutan yang hangat daripada PAS kawasan seluruh negeri dengan menghantar wakil masing-masing pada program yang diadakan secara atas talian.

Majlis bermula dengan bacaan doa oleh Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS negeri, Ustaz Amiruddin Mohd Rosdi.

- Advertisement -

Sementara menunggu majlis perasmian, Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri, Mustaman Mustain memberi kata-kata semangat kepada para peserta dengan harapan mereka yang bakal menjadi wartawan yang beristiqamah dan mampu membina persepsi masyarakat.

Seterusnya, program dirasmikan oleh Ketua Penerangan negeri, Ahmad Dullah.

“Tiga perkara penting perlu kita terapkan dalam penulisan berita iaitu menjadi ejen perpaduan, ejen perubahan dan ejen penerangan kepada masyarakat.

“Kita perlu menulis dengan penulisan-penulisan yang lunak tetapi memberi kesan di hati pembaca,” ujarnya pada majlis yang disertai hampir 130 wakil PAS kawasan-kawasan.

Pihak penganjur berharap semua peserta mendapat input yang berguna dan dapat diaplikasikan secara berterusan.

Di samping itu, kemahiran penulisan juga perlu ditambah baik dari semasa ke semasa mengikut peredaran masa dan suasana.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (Dilantik), Dr. Aliakbar Gulasan dijadual merasmikan majlis penutup, esok. – HARAKAHDAILY 18/9/2021

- Advertisement -