20 peratus Orang Asli belum sedia terima vaksin

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

GUA MUSANG:
Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan masyarakat Orang Asli di negara ini akan selesai diberi suntikan vaksin Covid-19 selewat-lewatnya menjelang November depan.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I Dato’ Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, terdapat kira-kira 144,180 masyarakat Orang Asli di negara ini dan sehingga semalam hampir 84,000 daripadanya telah disuntik vaksin.

Pun begitu beliau berkata, pihaknya akan berusaha bagi menyelesaikan dan memberi suntikan sebelum menjelang November kepada masyarakat Orang Asli yang masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

- Advertisement -

Malah beliau memaklukan, pihaknya juga memohon bekalan vaksin jenis Cansino sekitar 50,000 hingga 70,000 vaksin untuk kegunaan masyarakat Orang Asli.

“Kita telah membuat permohonan bekalan vaksin jenis Cansino dan sekiranya kita peroleh bekalan vaksin seperti yang dimohon, ia secara tidak langsung kita mampu menyelesaikan masyarakat Orang Asli yang belum disuntik pada Oktober depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Vaksinasi Covid-19 Orang Asli di Pos Gob di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Sapiah Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Dato’ Zaini Hussin.

Dalam perkembangan lain beliau berkata kementeriannya dan JAKOA turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk membawa bekalan vaksin ke perkampungan Orang Asli menggunakan helikopter.

Ujarnya, dengan penggunaan secara optimum aset kerajaan seperti helikopter ke kawasan pedalaman itu diyakini mampu meningkatkan kadar vaksinasi seluruh masyarakat di negara ini bagi mencapai imuniti kelompok pada Oktober.

“Keutamaan vaksinasi kepada Orang Asli menjadi komitmen KPLB dan Jakoa memandangkan masyarakat tersebut tinggal di pedalaman.

“Mereka juga menghadapi kesukaran perhubungan dan akses dari segi logistik untuk ke pusat-pusat vaksinasi yang disediakan kerajaan di bandar atau pekan terdekat,” jelasnya.

Katanya, jumlah penduduk Orang Asli di kawasan Pos Gob sebanyak 818 manakala jumlah layak disuntik 418 orang dan jumlah awal yang setuju divaksin 90 orang.

Bagaimanapun, pihaknya yakin jumlah itu akan bertambah hari ini di mana sebanyak 200 dos vaksin Cansino yang hanya memerlukan satu dos lengkap disediakan bersama petugas kesihatan.

Ujar beliau lagi, setakat ini pihaknya mendapati kurang daripada 20 peratus masyarakat Orang Asli yang tidak bersedia untuk menerima suntikan vaksin.

“Kita melihat ia berkemungkinan disebabkan mereka terpengaruh dengan anasir luar mengenai kesan vaksin. Namun, kita guna khidmat tok batin, guru dan sebagainya untuk memujuk golongan itu supaya mengambil suntikan vaksin,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2021

- Advertisement -