Tidak puas hati SOP punca lelaki bakar pondok bit polis

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK: Gara-gara tidak berpuashati terhadap pelaksanaan undang-undang termasuk prosedur operasi standard (SOP) menyekat penularan Covid-19, seorang lelaki bertindak membakar pondok bit polis di Pasar Jelawat dekat sini.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, Polis Kontijen Kelantan dengan kerjasama Polis Daerah Bachok menahan empat lelaki termasuk seorang suspek berusia 34 tahun bagi menyiasat kejadian 11 September lalu.

- Advertisement -

Menurutnya, suspek melakukan perbuatan jenayah itu selepas menerima hasutan serta cabaran rakan-rakan untuk bertindak sedemikian ekoran penguatkuasaan undang-undang yang ketat oleh pihak berkuasa.

“Dia dihasut oleh rakan-rakan yang lain, kerana ketegasan kita menguatkuasakan undang-undang termasuk mengambil tindakan saman kesalahan lalu lintas atau saman individu tidak mematuhi SOP.

“Jadi kawan dia hasut, kalau kamu berani kamu buat ditambah dengan pengaruh dadah dan sebagainya. Saya tegaskan ini kesalahan jenayah, saya tidak boleh kompromi dengan kes macam ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok di sini hari ini.

Shafien juga berkata, hasil tangkapan tersebut polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha 125 yang digunakan suspek terbabit ketika melakukan jenayah itu, berdasar rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, malah salah seorang daripada individu terbabit positif dadah, Methamphetamin serta mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

“Siasatan kita hanya menjurus kepada seorang suspek yang terlibat dalam kejadian kebakaran itu.

“Saya mengucap tahniah kepada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Bachok yang bekerjasama mengesan dan menangkap suspek berkenan,” kata beliau.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan dua lelaki yang berumur 24 dan 35 tahun, susulan kebakaran kecil pondok bit polis kira-kira jam 3 pagi Sabtu lalu. – HARAKAHDAILY 15/9/2021

- Advertisement -