Memperingati ulang tahun kedua Muafakat Nasional 2019-2021

- Advertisement -

HARI ini genaplah ulang tahun kedua penubuhan Muafakat Nasional (MN) dan pemeteraian Piagam Muafakat Nasional antara dua buah parti politik Melayu Islam terbesar dalam negara iaitu Umno dan PAS yang telah banyak merubah landskap politik dalam negara termasuk di Negeri Selangor pasca PRU14.

Sepanjang dua tahun penubuhannya MN Negeri Selangor telah terus melangkah ke hadapan memperkasakan agenda penyatuan ummah dan telah berjaya menubuhkan kerjasama politik antara kedua parti di pelbagai peringkat sehinggalah ke akar-umbi dengan menggerakkan program dan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan yang telah mendapat sambutan dan sokongan menggalakkan dari para penyokong parti serta rakyat Selangor secara amnya.

- Advertisement -

MN Selangor konsisten dalam memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas di negeri ini demi membangunkan watan yang sejahtera sebagaimana dipersetujui dalam Piagam berkenaan. Dan dalam waktu yang sama MN Selangor menerima realiti kepelbagaian agama, kaum dan budaya yang turut dilibatkan bersama demi mencapai kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

MN Selangor akan kekal mempertahankan kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ di bawah YAB Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob dan akan memastikan bahawa jajaran politik perpaduan ummah akan terus menjadi agenda utama dalam menawan kembali Negeri Selangor dari tangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum nanti.

Kenyataan ini dikeluarkan oleh Pengerusi Bersama Muafakat Nasional Negeri Selangor pada hari ini Selasa 14 September 2021 bersamaan 7 Safar 1443.

DATO DR AHMAD YUNUS HAIRI 
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

TAN SRI NOH OMAR
Pengerusi
Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 14/9/2021

- Advertisement -