Ibu rai hari ulangtahun anak di PPV

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

TUMPAT:
Sempena sambutan ulangtahun kelahiran anaknya seorang ibu menempah 50 pek pulut kuning untuk diagihkan kepada petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kopeladar Wakaf Bharu.

Siti Rohana Idris, 41, dari Kampung Alor Pasir berkata, tempahan pulut kuning dibuat petang semalam sebagai menghargai petugas barisan hadapan yang bertugas di PPV terbabit.

“Pada masa yang sama saya ingin menjadikannya kenangan memandangkan tidak dapat diraikan secara meriah tapi cukup dizahirkan cara sebegini,” katanya ketika ditemui semasa menemankan anaknya hadir di PPV terbabit hari ini.

- Advertisement -

Anaknya Ahmad Airoul Firhan Mohd Rosdi, 18, hadir di PPV Dewan Kopeladar Wakaf Bharu jam 9 pagi.

Pelajar Kolej Matrikulasi Kedah dalam jurusan sains itu berkata, beliau terpaksa ‘ponteng’ kelas yang dijalankan secara dalam talian untuk hadir ke PPV.

“Bagaimanapun saya sempat menghadiri ujian secara dalam talian pagi tadi sebelum bersiap ke PPV,” katanya yang merupakan anak sulung daripada dua beradik.

Menurutnya juga beliau mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera pada 11 Ogos lalu terkejut apabila menerima panggilan untuk mendapatkan suntikan vaksin pada tarikh hari lahirnya.

Katanya setiap hari beliau memeriksa MySejahtera kerana tidak sabar untuk divaksin. Minggu lepas beliau mendapat tarikh suntikan dos pertama.

“Ia jatuh pada hari lahir begitu mengembirakan saya. Terus terang saya teruja malah menganggap ia hadiah hari lahir,” katanya.

Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) turut memeriahkan sambutan hari lahir Ahmad Airoul dengan menghadiah sebiji kek.

Kek dan pulut kuning itu turut dikongsi bersama petugas barisan hadapan di PPV terbabit. – HARAKAHDAILY 8/9/2021

- Advertisement -