Proses baik pulih paip pecah giat dilaksanakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau mengikuti perkembangan krisis air Berangan 2.0 dari semasa ke semasa.

“Alhamdulillah, alatan pembaikan paip pecah dari luar negara telah tiba di Terengganu dan proses baik pulih paip pecah dasar Sungai Terengganu giat dilaksanakan,” ujarnya menerusi Facebook beliau, hari ini.

- Advertisement -

Sementara itu, katanya pam air di Pulau Bahagia juga telah diaktifkan dua hari lalu dan air telah sampai di Loji Baru Bukit Berapit untuk dirawat dan diproses.

Tambahnya, terkini pasukan kerja di Bukit Berapit sedang mengawal selia aliran air yang akan mula mengisi paip 1,500mm untuk proses penyahairan (scouring) sejak awal pagi tadi lagi.

Seterusnya, jelas beliau proses disinfection akan dijalankan pada malam ini sehingga awal pagi esok.

“Doakan usaha ini berjalan lancar,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutamanya Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau negeri, Mamad Puteh yang tidak jemu turun setiap hari ke loji untuk melihat sendiri perkembangan dan proses terkini gerak kerja yang dilaksanakan. – HARAKAHDAILY 8/9/2021

- Advertisement -