Harap pergolakan dalaman PKR tidak beri kesan pentadbiran kerajaan negeri

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan berharap pergolakan dalaman PKR tidak memudaratkan pentadbiran kerajaan negeri itu.

Ketua Pemudanya, Khairul Yazman Yahya berkata, adalah lebih baik mengekalkan kerajaan sedia ada sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

- Advertisement -

“Kalau nak tumbang, tumbanglah selepas PRU,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, semalam.

Pada Ahad, kenyataan media didakwa daripada Penerangan PKR Negeri Sembilan menyatakan hilang kepercayaan kepada Pengerusi MPN Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun atas beberapa sebab dan rombakan perlu dilakukan terhadap pengurusan MPN Negeri Sembilan.

Menurut Khairul, pihaknya tidak ingin mencampuri hal parti PKR itu, namun sudah maklum lebih awal akan pergolakan berkenaan.

“Kalau ikut, daripada awal pergolakan itu sudahpun berlaku ‘team’ Rafaie dengan ‘team’ MB (Menteri Besar).

“Rafaie walaupun sebagai exco, tetapi buat program atas nama dia semata-mata, tidak melibatkan kerajaan negeri.

“Jadi kita sudah tahu pergolakan berlaku dan meletupnya, semalam,” kata beliau yang sudah menjangka perkara itu.

Menerusi kenyataan sama, Aminuddin didakwa tidak melakukan sebarang penyusunan dan koordinasi yang berkesan untuk menarik sokongan pengundi, terutamanya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang perlu diberi tumpuan dan keutamaan.

Mengulas hal itu, Khairul menasihati pihak terlibat agar mengurangkan berpolitik ketika ini memandangkan rakyat sedang menilai dan melihat.

“Rakyat sedang melihat siapa lebih mengutamakan rakyat berbanding siapa yang menjadi menteri besar, siapa yang gila kuasa, siapa yang nak rebut kuasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/9/2021

- Advertisement -