Pemilihan Muhyiddin Pengerusi MPN bijak, tepat

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Pelantikan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah suatu keputusan yang bijak dan tepat pada masanya.

Penganalisis politik, Dr Azman Yusof, berkata pelantikan ini membolehkan pelaksanaan dasar untuk memulihkan Malaysia daripada Covid-19 dapat diteruskan sebagaimana yang sudah dirancang sebelum ini.

- Advertisement -

Selain itu menurutnya, ia turut menggambarkan keyakinan dan kepercayaan Perdana Menteri kepada beliau yang sentiasa meletakkan keutamaan rakyat dan negara melebihi kepentingan politik peribadi dan parti.

Ujarnya, kesediaan beliau menerima tawaran kerajaan dan akan bertugas tanpa sebarang imbuhan menggambarkan keluhuran peribadinya yang tidak mengambil kesempatan di atas penderitaan rakyat.

“Tambahan pula, pelantikan ‘abah’ sebagai pengerusi MPN selari dengan konsep Keluarga Malaysia sebagaimana dalam ucapan sulung Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, sejurus dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

“Ia bukanlah retorik kosong tetapi mempunyai konotasi yang positif kerana abah atau ayah adalah tonggak sesebuah keluarga,” ujarnya kepada Harakahdaily, semalam.

Justeru katanya, pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Pengerusi MPN bakal membawa Malaysia ke landasan yang betul khususnya dalam usaha kerajaan menangani penularan pandemik Covid-19.

“Selamat maju jaya Tan Sri, dan selamat menunaikan amanah yang diberi. Moga keluarga Malaysia mampu tersenyum kembali,” ujar beliau lagi.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri.

Beliau berkata, pelantikan berkenaan disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 1 September lalu bersetuju melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri.

Dalam reaksi segera, Muhyiddin menyatakan beliau sedia menjalankan tugas secara sukarela tanpa sebarang imbuhan.

Katanya, beliau dan anggota MPN akan membantu Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri itu membawa Malaysia melalui fasa pemulihan seperti digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). – HARAKAHDAILY 8/9/2021

- Advertisement -