Pemikiran yang terjajah

- Advertisement -

PENJAJAHAN pemikiran boleh difahami dengan pengaruh Barat selaku penjajah (Imperialisme) terhadap cara berfikir masyarakat yang dijajah. Khususnya negara-negara Islam. Situasi ini perlu dilihat bermula dari perkembangan gelombang Hellenistik yang dipelopori oleh Alexander III of Macedon (356-323 SM)

Gelombang Hellenistik


Gelombang Hellenistik tercatat dalam sejarah perkembangan pemikiran. Gelombang ini tercetus berikutan gerakan penjajahan yang dilakukan oleh Alexander III of Macedon, yang merupakan anak murid Aristotle. Gerakan ini secara tidak langsung mengembangkan pemikiran Yunani (Greek). 

Dalam sejarah, Alexander menakluk Empayar Parsi, termasuklah Anatolia, Syria, Phoenicia, Gaza (Palestin), Mesir, Bactria, serta Mesopotamia (Iraq), dan lain-lain. Zaman ini boleh dikatakan zaman keemasan Empayar Macedonia Greek. Peluasan empayar ini boleh dibanggakan selepas kejatuhan Athena dan Sparta. 

Hellenistik secara khususnya merujuk kepada satu tempoh zaman perubahan dunia falsafah, bermula selepas kematian Alexender iaitu antara 323 SM, sehinggalah 30 SM. Kesan gelombang ini, pengaruh falsafah dan pemikiran Yunani meresap ke dalam negara-negara yang dijajah olehnya. 

Pengaruh ini turut memberi kesan kepada pendeta-pendeta Yahudi. Antaranya Philo (20SM-50M), Josephus (37-100) dan Justine Martyr (100-165). Philo telah mempengaruhi Paulus (5-67M), Ammonius Saccas (175-242 M) dan lain-lain. Saccas pula telah mempengaruhi Plotinus (204-270 M). Antaranya yang sezaman, ialah Clement of Alexandria (150-215 M) dan Origen (185-254 M). 

Philo contohnya, cuba menggabungkan idea-idea Plato dengan ajaran Yahudi. Philo mengasaskan Neo-Platonisme menurut sebahagian pendapat, dengan berteraskan kepada idea Dualisme Plato, konsep logos Heraclitus dan Stoitisisme atau Stoicism, yang tersebar fasa Hellenistik.

Ajaran Philo itu memberi kesan kepada Paulus (5-67M) yang merupakan seorang penganut Yahudi. Lantas mendorong beliau untuk ‘mencipta’ agama baru. Paulus juga berasal dari Tarsus, yang merupakan daerah kemunculan aliran Stoicism yang diasaskan oleh Zeno. 

Paulus mendakwa beliau pernah bertemu dengan Nabi Isa A.S dan turut mendakwa bermimpi bertemu dengannya. Ajarannya beliau ini berkembang sehingga menjadi sebagai satu silibus yang tetap dalam pemerintahan Rom, yang dikenali sebagai Katholik. Ketetapan itu dibuat dalam persidangan di Nicaea pada 325 Masihi.

- Advertisement -

Penjajahan dan pertembungan ideologi

Gambaran tersebarnya falsafah atau pemikiran Yunani tidak terhenti di saat itu. Boleh dikatakan pengaruh Falsafah Yunani mempengaruhi pemikiran Dunia Barat dan Dunia Islam selama zaman berzaman. Pengaruh itu menyerap dalam Dunia Islam di awal zaman Abbasiah. 

Kita perlu sedar, penjajahan sudah berlangsung dalam dunia kemanusiaan sejak dahulu kala. Peperangan demi peperangan untuk merebut wilayah, atau tanah jajahan sudah semacam menjadi tabiat sebuah empayar. Hal ini digambarkan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran;

قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ

“Raja perempuan itu berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan.”

(an-Namlu: 34)

Sejarah penjajahan Barat dalam Dunia Islam khususnya, sudah banyak diperkatakan. Bahkan telah disilibuskan secara akademik, telah diwacanakan secara meluas, dan banyak lagi. Antara yang dikenali dengan watak penjajah ini seperti British, Perancis, Portugis, Belanda dan sebagainya. 

Gerakan penjajahan yang saya senaraikan ini, bukan hanya sekadar menjajah untuk tujuan peluasan empayar. Penjajahan mereka itu juga bertujuan ‘menyedut’ segala kekayaan dan hasil bumi negara yang dijajah oleh mereka. Pasca Renaissance, gerak kerja mereka ini lebih berteraskan kepada fahaman Kapitalisme.

Mereka yang terjajah pula, sangat terkesan dengan Sosialisme. Ini kerana, apa yang diperjuangkan oleh fahaman tersebut, berteraskan kepada perjuangan anti-Kapitalisme. Kita dapat saksikan kemuncak pertembungan ini berlaku dalam fasa Perang Dingin 1947-1992, antara Amerika dan Soviet.

Gambaran penjajahan British

Tidak dinafikan, sebelum zaman penjajahan lagi, konsep cukai atau monopoli sudah wujud. Namun, ia bukan dalam bentuk penjajahan pemikiran yang ingin saya maksudkan. Dalam dunia perdagangan contohnya, adanya unsur cukai dan monopoli lebih awal sebelum kelahiran Adam Smith pengasas Kapitalisme lagi.

Namun, apa yang perlu kita fahami ialah bentuk penjajahan Kapitalisme di seluruh dunia dari sudut penjajahan pemikiran. Kapitalisme yang lahir di Dunia Barat era Renaissance, telah diserap oleh para penjajah sebagai sebuah sistem yang dilaksanakan di negara-negara jajahan mereka, termasuk Tanah Melayu.

Orang-orang Melayu yang dijajah oleh British, dikenakan cukai-cukai yang menindas. Antaranya ialah cukai tanah, yang mana kadarnya berbeza mengikut jenis tanah. Mereka yang ingin mengusahakan tanah juga perlu membuat permohonan di Pejabat Tanah. 

Undang-undang Tanah ini diberikan mandat kepada Residen Negeri untuk menentukan jumlah kawasan konsesi tanah yang diberikan kepada pemodal. Akta Tanah Simpanan Melayu yang diluluskan lebih bertujuan melindungi kepentingan penjajah. Orang Melayu sendiri dilarang mengusahakan ‘Tanah Simpanan Melayu’ yang berada di bawah mandat Residen Negeri.

Selain itu, pungutan cukai ala Kapitalisme turut dilakukan oleh pegawai-pegawai British, menyebabkan orang Melayu terbeban dengan pelaksanaan sistem tersebut. Isunya bukan semata-mata hasil kutipan cukai itu, akan tetapi sistem percukaian ala-ala Kapitalisme yang menjerut leher masyarakat yang terjajah.

Termasuk juga perlombongan yang dimonopoli orang British. Hasil lombong dikaut oleh para penjajah, manakala orang Melayu yang terjajah ketika itu hanya diberikan upah bekerja. Justeru, sistem ini secara tidak langsung memperkasakan lagi penerapan nilai-nilai Kapitalisme dalam sistem di Tanah Melayu.

Kapitalisme dan penjajahan hari ini

Gambaran-gambaran yang saya nyatakan tadi adalah contoh bagaimana sebuah pemikiran itu telah menyerap sebagai sebuah sistem atau undang-undang. Sistem ekonomi Kapitalisme menyerap masuk, sehinggalah lahirnya masyarakat yang terjajah cara berfikirnya. Lihatlah hari ini, sistem tersebut seolah-olah sudah pun tersebati.

Kapitalisme telah berjaya melahirkan masyarakat yang terbelenggu. Inilah yang dapat kita saksikan hari ini. Walaupun Malaysia sudah merdeka, tetapi sistem Barat telah mencorak cara berfikir rakyat Malaysia. 

Sehinggakan rakyat Malaysia masih mengekalkan sistem Kapitalisme yang membelenggu itu, sekalipun penjajah sudah lama angkat kaki:

1. Antara sistem Kapitalisme yang masih wujud sehingga ke hari ini, antaranya unsur riba yang masih terdapat dalam PTPTN dan pinjaman-pinjaman tertentu. Loan yang disediakan oleh bank-bank, ‘faedah’nya dikenakan kepada rakyat. Rakyat Malaysia sepatutnya ‘sudah Merdeka’ tetapi terikat dengan pelbagai ‘loan’ bertahun-tahun yang menguntungkan golongan tertentu.

2. Antara lain, cukai-cukai yang zalim masih wujud, dan masih dianggap biasa oleh rakyat Malaysia, seperti SST, GST, tol, duti import, duti eksais, lesen AP dan sebagainya. Yang untung dan kaya melalui sistem ini hanyalah golongan tauke. Golongan ini biasanya mempunyai kelebihan-kelebihan berniaga berbanding rakyat biasa.

Contohnya, tauke yang mempunyai lesen AP bebas mengimport barang keperluan, lalu menjual dalam pasaran nasional. Mereka bebas ‘melambung’kan harganya kerana ia adalah keperluan, tambahan pula tidak ramai yang memiliki lesen AP. Manakala rakyat biasa, terpaksa membeli keperluan tersebut sekalipun harganya melambung. 

3. Hari ini juga masih wujud unsur-unsur monopoli tanah, menyebabkan harga hartanah melambung tinggi. Mereka yang tidak mempunyai ‘cash’ terpaksa membiarkan leher mereka dibelenggu oleh bank yang menawarkan loanpembelian rumah, contohnya. 

Gambaran-gambaran inilah yang menunjukkan bahawa masyarakat khususnya di Malaysia masih terbelenggu dengan sistem yang diteruskan daripada penjajah dahulu. Sangat sukar untuk melihat seseorang yang membeli kereta baru dengan ‘cash’. Kalau ada pun, sudah pasti terpaksa berhadapan dengan LHDN.

Sekularisme dan belenggu pemikiran

Kapitalisme yang saya gambarkan tadi, menyebabkan masyarakat seolah-olah tidak mampu bangkit untuk melawannya. Ini kerana, cara berfikir masyarakat hari ini adalah cara berfikir golongan terjajah. Masyarakat seolah-olah sudah tersebati dan terbiasa dengan sistem Kapitalisme ini.

Apabila mereka dihurung kemiskinan yang melarat, mereka tidak fikir puncanya adalah sistem Kapitalisme itu. Masing-masing tercari-cari solusi, sedangkan mereka masih berada dalam kerangka Kapitalisme. Sudah pasti jalannya semakin buntu. Mengapa mereka tidak mengkaji kaedah penyelesaian ekonomi Islam?

Masyarakat tidak dapat melihat Islam sebagai satu solusi, bukan kerana Islam itu tiada solusi. Akan tetapi, disebabkan masyarakat sudah tersebati dengan adunan Sekularisme. Sekularisme berjaya menjadikan Islam itu dilihat hanya sebagai kepercayaan (religion), dan dilihat serba mistik lagi misteri.

Apabila masyarakat sudah terikat cara berfikir sebegitu, maka sudah pasti mereka tidak mampu ‘mengekstrak’ isi-isi al-Quran dan Hadis menjadi sebuah sistem dan undang-undang. Inilah agenda Sekularisasi yang direncanakan oleh penjajah sepanjang projek penjajahan mereka. 

Kerohanian, zikir, tasawuf, zuhud dan sebagainya tiada masalah di sisi penjajah. Yang bermasalah di sisi mereka adalah, sistem ekonomi Islam, pelaksanaan undang-undang cara Islam, cara berfikir Islam dan sebagainya. Kerangka inilah yang dinamakan sebagai agenda Sekularisasi.

Penjajah sudah lama angkat kaki. Namun, Masyarakat Malaysia masih lagi diselaputi dengan pengaruh Sekular. Walaupun al-Quran tersedia depan mata, namun masih ramai tidak mampu untuk ‘mengekstrak’ isi al-Quran itu menjadi sebuah solusi bagi menyelesaikan masalah masyarakat dan negara.

Al-Quran hanya dilihat sebagai bacaan yang dialunkan, digunakan sebagai jampi untuk menghalau jin, dipertandingkan lagu bacaannya dan sebagainya. Al-Quran tidak diteliti maksudnya, tidak dicairkan untuk membentuk sistem, tidak difahami dengan kerangka pemikiran dan sebagainya.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 6/9/2021

- Advertisement -