Arahan Al-Quran agar berlaku adil

- Advertisement -

Keadilan Islam Dalam Lipatan Sejarah (Siri 2)

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

DALAM siri pertama, saya menyebut mengenai keadilan Islam secara umum. Islam adalah sistem hidup paling lengkap dan sempurna dari Allah. Ia ditunjuk oleh firman Allah:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Maksudnya: Pada hari ini aku sempurnakan bagi kamu agama kamu. Aku cukupkan atas kamu nikmatku. Aku reda Islam menjadi agamamu. (Al-Maidah: 6)

Hukum-hakam, prinsip agama dan petunjuk pula tegak dan teguh di atas jalan yang lurus. Firman-Nya:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ

Maksudnya: Dan bahawa ini adalah jalan-Ku, jalan yang lurus. Maka ikutilah..’ (Al-An’am: 153)

- Advertisement -

Yang menunjukkan kehebatan agama ini berbanding sistem yang lain.

Hukum, prinsip, petunjuk ini banyak. Antaranya berkait dengan keadilan. Al-Quran sebagai sumber perundangan tertinggi bagi seorang mukmin dan bagi sebuah negara, dipenuhi dengan perintah agar berlaku adil kepada semua, dari semua. Berlaku adil daripada kerajaan kepada rakyat, daripada suami kepada isteri, hinggalah daripada seorang kepada seorang atau sesuatu yang lain.

Saya menyebutkan beberapa contoh ayat Al-Quran yang mengajarkan tentang keadilan:

1. وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ ۖ وَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ ۖ لَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۖ وَإِذَا قُلْتُمْ فَاعْدِلُوا وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ ۖ وَبِعَهْدِ اللَّهِ أَوْفُوا ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang lebih baik, hingga dia sampai umur baligh. Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil. Allah tidak membebani seseorang melainkan setakat yang dia mampu. Apabila kamu berkata, maka hendaklah berlaku adil, sekalipun terhadap kaum kerabat. Sempurnakanlah janji Allah. Demikian itu, Allah berpesan kepada kamu, mudah-mudahan kamu mengambil peringatan. (Al-An’am: 152)

Di dalam ayat di atas, paling kurang ada tiga perkara yang perlu diberi perhatian iaitu harta anak yatim, sukat dan timbang, perkataan yang disebut.

Orang atau pertubuhan yang menguruskan anak yatim biasanya mendapat simpati yang mudah dari masyarakat. Mereka menyumbang duit, pakaian, makanan dan lain-lain untuk anak yatim. Jika yang menguruskan berlaku adil, maka itulah yang sebenarnya. Jika sumbangan diselewengkan, duit tidak diagih dengan betul, maka itu tidak adil.

Sukat dan timbang merujuk kepada sektor ekonomi, perniagaan dan perdagangan. Di zaman moden, penipuan, penyelewengan, ketidak-adilan yang berkait dengan sektor ekonomi boleh berlaku melalui pelbagai cara, ruang dan aspek.

Setengah ulama seperti Al-Qurtubi berkata: Allah tahu ada antara manusia yang rasa sempit dadanya jika mahu memberi lebih dari perkara yang wajib. Dia tidak membebankannya supaya memberi lebih. Allah memberikan hak kepada empunya hak untuk menerima haknya, dan tidak membebankannya untuk reda kurang dari itu kerana jika kurang, dia pula akan rasa sempit dada. Itulah maksud ayat ‘Dia tidak membebankan seseorang melainkan setakat yang dia mampu. Dan ini juga menunjukkan Islam mengambil perhatian berat terhadap keadilan yang ditegakkan dalam sistem ekonomi.

Perkataan yang diucap pula berkait dengan menjadi saksi, menjatuhkan hukuman, mendamaikan antara manusia, wasiat, sumpah, memberitahu sesuatu sifat dalam muamalat seperti aib barang dan lain-lain. Ini semua mesti disebut secara adil, tanpa menzalimi sesiapa dan mana-mana pihak.

 2.إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah perintahkan kamu supaya menunaikan amanah kepada ahlinya. Dan apabila kamu berhukum di antara manusia, bahawa kamu menjatuhkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah sebaik-baik yang mengingatkan kamu dengannya. Sesungguhnya Allah, Dia lah Tuhan yang Maha Mendengar, Lagi Maha Melihat. (An-Nisa’: 58)

Menurut setengah ulama tafsir seperti At-Tabari, ayat ini ditujukan kepada pemerintah umat Islam supaya menunaikan amanah terhadap orang yang mereka uruskan. Allah perintahkan rakyat supaya taatkan pemerintah, dan memerintahkan pemerintah supaya menjaga rakyat mereka.

Ibnu Kathir menyebut: Allah juga perintahkan supaya berhukum dengan adil di antara manusia. Oleh sebab itu, Muhammad bin Kaab, Zaid bin Aslam dan Shahr bin Haushab berkata: Ayat ini turun terhadap pemerintah.

Dalam hadis: Sesungguhnya Allah bersama pemerintah selama mana dia tidak zalim. Apabila dia zalim, Allah serahkannya kepada dirinya sendiri. Dalam athar: Sehari berlaku adil seperti ibadat 40 tahun.

Begitu juga ayat-ayat Al-Quran yang lain seperti Al-Maidah: 8 yang mengingatkan orang mukmin supaya berlaku adil, sekalipun terhadap musuh, orang yang dibenci dan bukan daripada kalangan sendiri. Apabila mampu berlaku adil dalam keadaan yang sukar seperti itu, Allah menyifatkan mereka dekat dengan taqwa, kerana orang yang berlaku adil, bererti dia taat. Bila dia taat, tentulah dia bertaqwa. Sesiapa yang zalim, dia berdosa kepada Allah. Sesiapa yang berdosa, dia jauh dari taqwa.

Ajaran al-Quran sebagai petunjuk dan perlembagaan hidup seorang Muslim, hingga ke peringkat negara, mesti dipraktikkan sepanjang masa, dan sifat adil adalah di antaranya. – HARAKAHDAILY 22/7/2021

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -