Hujan lebat punca air sungai melimpah ke jalan di Yan

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

YAN:
Hujan lebat yang melanda Yan semalam tidak menyebabkan berlaku banjir, sebaliknya aliran air deras hanya melimpah di jalan dan tidak merebak ke kawasan kampung.

Hujan hampir dua jam yang melanda Yan itu mengakibatkan aliran air dari Gunung Jerai deras dan laju.

Situasi berkenaan menimbulkan suasana cemas terutama penduduk yang tinggal berhampiran kerana bimbang kejadian banjir berulang kembali.

- Advertisement -

Malah beberapa video dan gambar situasi berkenaan yang dimuatnaik di media sosial turut mendapat perhatian netizen.

Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit berkata, pada kejadian itu tiada lokasi yang dilanda banjir biarpun berlaku sekali lagi hujan lebat semalam.

“Alhamdulilah tidak berlaku banjir semalam. Air hanya melimpah di jalan dan tidak memasuki kawasan kampung,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dua minggu lepas hujan lebat luar biasa di Gunung Jerai menyebabkan berlaku terjahan kepala air sehinggga merosakkan banyak rumah penduduk dan chalet yang terdapat di kaki gunung terbabit.

Bagaimanapun Sabri berharap penduduk tempatan mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan kerosakan infastruktur akibat kejadian kepala air sebelum ini masih belum diperbaiki sepenuhnya.

Menurutnya juga banjir lumpur yang berlaku pada 18 Ogos lalu menyebabkan air sungai mudah melimpah apabila hujan lebat.

“Sungai pun menjadi cetak dan sempit, benteng sungai pun roboh. Apabila hujan lebat pastinya akan berlaku limpahan air.

“Oleh itu langkah berjaga-jaga perlu diambil penduduk di kawasan terbabit kerana kita bimbang berlaku lagi banjir seperti baru-baru ini,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 3/9/2021

- Advertisement -