Zahir semangat patriotik sempena merdeka

- Advertisement -

Oleh LAILA ISMAIL

BATU SAPI: Hari Kemerdekaan adalah masa untuk rakyat Malaysia berbilang bangsa menzahirkan semangat patriotik serta kasih sayang terhadap negara.

PAS Kawasan Batu Sapi mengambil inisiatif mengedar Jalur Gemilang kepada ahli dan orang awam bagi memupuk kesedaran mengibarkan Jalur Gemilang dalam Program Semarak Merdeka di sini, kelmarin.

- Advertisement -

Menurut Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Sapi, Norsah Bongsu, inilah masanya untuk seluruh rakyat menunjukkan semangat patriotisme dan cinta kepada negara dengan perasaan penuh bangga.

“Edaran itu juga bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat dan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk mengibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan negara,” ujar beliau lagi.

Program dimulai dengan penyerahan Jalur Gemilang kepada ketua-ketua cawangan PAS dalam Kawasan Batu Sapi untuk dikibarkan bagi menzahirkan semangat patriotik dalam jiwa masyarakat.

Turut hadir dalam program ini Ketua Dewan Pemuda PAS Batu Sapi, Masru Mustaqim serta Ketua dan Timbalan PAS Cawangan Karamunting, Ruslan Baharuddin dan Suzieyanti Ong.

Seterusnya lokasi Taman Mawar dan sekitar Batu Sapi dipilih untuk agihan 250 bendera di premis-premis perniagaan berhampiran dan penduduk sekitar yang berkenderaan secara pandu lalu. – HARAKAHDAILY 3/9/2021

- Advertisement -