Terima dana asing dikhuatir ada agenda tersembunyi

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad menganggap tindakan segelintir parti menerima dana luar untuk mendanai kempen politik adalah berbahaya.

Menurutnya, sekiranya perkara itu terbukti berlaku, pihak berkenaan perlu mengakui dan mengisytiharkan sumber mereka mendapat dana itu.

- Advertisement -

Hal ini kerana, ia dibimbangi sekiranya pihak yang mendanai berkenaan mempunyai agenda tersembunyi.

“Kalau itulah benda yang berlaku, ia satu benda yang agak berbahayalah. Kalau dia terima, dia kena declare lah. Declare daripada sumber mana.

“Yang paling bimbang sekali ialah kita takut, yang mereka beri itu ada hidden agenda dia,” ujarnya ketika ditemui Harakahdaily, semalam.

Memetik lapora Portal Agenda Daily pada 29 Ogos, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (B) Dato’ Mohd Salleh Ismail dilapor mendedahkan ada pemimpin politik Malaysia menerima bantuan dan sokongan moral dari luar negara.

Ia membabitkan individu dan pertubuhan terutamanya di Amerika Syarikat bagi membolehkan pemimpin politik terbabit meneruskan karier mereka.

Isu itu kemudian dihangatkan semula Penasihat SUARAM Dr Kua Kia Soong yang mendesak Pakatan Harapan (PH) menjelaskan hubungan mereka dengan National Endowment for Democracy (NED).

Seperti dilapor portal berita, Dr Kua mendakwa dana kepada blok pembangkang berlaku sejak sedekad lalu.

Menurut laporan itu hubungan antara PH dengan NED didedahkan Presiden International Republican Institute (IRI) AS, Daniel Twining, tiga tahun lalu. – HARAKAHDAILY 2/9/2021

- Advertisement -