KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air di Lembah Klang tahun lalu, mendorong Ahli Parlimen Wangsa Maju, Tan Yee Kew, bersama 809 pengguna di kawasannya, menyaman kerajaan Selangor yang diterajui partinya sendiri, Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Saman difailkan oleh firma guaman Messrs Calvin Khoo di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 20 April lalu
Selain kerajaan Selangor, 17 defendan lain yang disaman ialah Menteri Besar Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dan pengarahnya, Majlis Perbandaran Selayang, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Lembaga Pengurusan Air Selangor, syarikat Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dan Pakar Scieno TW Sdn Bhd, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Majlis Kualiti Alam Sekitar dan Ketua Pengarahnya, Jabatan Alam Sekitar dan Ketua Pengarahnya, JPS Persekutuan dan ketua pengarahnya, Menteri Alam Sekitar dan Air serta Kerajaan Persekutuan.
Oktober tahun lalu, Yee Kew berkata, beliau membuat keputusan untuk memulakan tindakan saman berhubung kesan gangguan bekalan air di kawasan Parlimennya.
Pada 4 Januari lalu, Ahli Parlimen berkenaan memberitahu, beliau dan beberapa ratus penyokongnya akan memfailkan saman terhadap kerajaan Selangor, Kerajaan Persekutuan dan beberapa pihak lain, berikutan gangguan bekalan air yang berterusan akibat pencemaran di sungai utama Lembah Klang.
Mengikut salinan writ saman, Yee Kew dan pengguna lain memohon pengisytiharan bahawa syarikat Yip Chee Seng & Sons, bertanggungjawab terhadap gangguan bekalan air pada 3 September tahun lalu.
Pada 15 September tahun lalu di Mahkamah Sesyen Selayang, empat beradik yang juga ahli lembaga pengarah sebuah syarikat dan seorang pengurus bengkel, didakwa berhubung pencemaran Sungai Gong yang menyebabkan gangguan bekalan air membabitkan lebih 1.2 juta penduduk. Mereka didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 2 dan 3 September.
Melalui tindakan sivil tu, Yee Kew dan pengguna lain memohon deklarasi mahkamah bahawa badan awam (defendan dalam saman) bertanggungjawab terhadap gangguan bekalan air akibat kecuaian, menyalahi tugas berkanun atau melanggar hak plaintif untuk hidup dan kebebasan peribadi. Yee Kew dan penduduk lain juga menuntut ganti rugi am, khas dan teruk daripada defendan.
Tahun lalu, Yee Kew memberitahu media bahawa beliau membuat keputusan untuk menyaman syarikat persendirian, Pakar Scieno TW, kerana didakwa gagal memberi amaran kepada pihak berkuasa mengenai pencemaran sungai di Selangor yang menyebabkan gangguan bekalan air.
Pada 2017, kerajaan menganugerahkan Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP) kepada Pakar Scieno untuk menyediakan data tahap kualiti marin, sungai dan udara, selain berfungsi sebagai pusat arahan analisis. Syarikat ini mengendalikan program antara Julai 2017 hingga Januari 2032 dengan kos RM846 juta.
Apabila dihubungi, wakil Messrs Calvin Khoo, mengesahkan bahawa firma itu bertindak bagi pihak Yee Kew dan 809 plaintif lain. Firma guaman itu juga mengesahkan bahawa berikutan pengurusan kes secara dalam talian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, tarikh pengurusan kes saman dipinda ke 17 September ini.
Mahkamah menetapkan tarikh baharu pengurusan kes itu secara dalam talian untuk memberi masa kepada 16 defendan memfailkan pernyataan bela diri terhadap saman itu.
Pemeriksaan terhadap sistem fail dalam talian mahkamah menunjukkan dua defendan, Majlis Perbandaran Selayang dan Pengurusan Air Selangor, telah memfailkan pernyataan bela diri terhadap saman itu.
Pada Oktober 2020, banyak kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor, mengalami catuan bekalan air tidak berjadual sebanyak empat kali dalam tempoh sebulan. Bagi tempoh antara Mac hingga Ogos 2020 pula, sebanyak 18 gangguan bekalan air berlaku. – HARAKAHDAILY 2/9/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!