Erti sebuah kemerdekaan buat anak muda Malaysia

- Advertisement -

APABILA disebut mengenai kemerdekaan, ada sebahagian di antara kita yang salah faham mengenai makna secara falsafah di sebalik terma kemerdekaan yang dilaungkan. Ada di antara kita yang sengaja menyempitkan makna kemerdekaan ini dengan memberikan tafsiran yang menyimpang daripada hakikat sebenar kemerdekaan buat Malaysia.

Mereka dengan dangkalnya telah memberikan tafsiran baru terhadap kemerdekaan dengan maksud bebas daripada segala jenis bentuk undang-undang, bebas bersuara tanpa batasan, bebas daripada cengkaman atau pengaruh undang-undang syariah, dan bebas daripada segala prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara.

- Advertisement -

Sejak daripada Portugis menakluk Kota Melaka pada tahun 1511, pahlawan-pahlawan kita yang terdahulu telah berjuang membebaskan tanah air tercinta ini daripada cengkaman kuasa asing. Pejuang kemerdekaan negara kita yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk rakyat kebanyakan, para cerdik pandai, alim ulamak, dan pemimpin masyarakat tidak pernah lelah berjuang menuntut kemerdekaan buat negara kita meskipun penjajah datang silih berganti daripada Portugis, Belanda dan British.

Perjuangan mereka yang sangat panjang inilah yang telah membolehkan kita mewarisi kemerdekaan yang membentuk sebuah negara berdaulat yang didasari oleh Perlembagaan yang unik dan tersendiri. Alhamdulillah, kita kini bebas membentuk undang-undang negara kita sendiri, bebas mengamalkan kepercayaan agama masing-masing dan menjalani kehidupan seharian tanpa rasa bimbang dikawal oleh kuasa asing atau undang-undang rimba.

Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya anak muda untuk memahami erti kemerdekaan yang sebenar. Marilah kita menghargai nilai kemerdekaan ini dengan menjadi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, hormat menghormati sesama kita, terus mengukuhkan perpaduan nasional dan menolak sebarang bentuk penjajahan baru daripada mana-mana kuasa asing atau mereka yang menjadi proksi kepada kuasa asing. Jati diri sebagai rakyat Malaysia juga mesti terus dikekalkan untuk mempertahankan kemerdekaan ini.

Semoga dengan memahami erti kemerdekaan yang sebenar, kita dapat sama-sama membangunkan negara kita ke arah negara yang lebih makmur, sejahtera dan berkebajikan.

Selamat Hari Kemerdekaan yang ke-64.

“Malaysia Prihatin”

YB SENATOR Ir. Ts. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 31/8/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/678811362163260/posts/4649541388423551/

- Advertisement -