Tingkat pemantauan ke arah Perak Bumi Lestari

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemantauan dan penguatkuasaan amat perlu ditingkatkan untuk tidak mengkompromikan faktor yang berkait alam sekitar di Perak.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata beliau dan seluruh warga kerja Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjunjung kasih di atas titah Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah berhubung perkara itu.

- Advertisement -

“Patik juga dengan rendah hati menginsafi dan komited dengan titah Sultan Nazrin Muizzudin Shah bahawa langkah-langkah pemantauan dan penguatkuasaan amat perlu ditingkatkan bagi merealisasikan agenda besar Perak Bumi Lestari,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Menurutnya, sepanjang tahun 2020, Jabatan Alam Sekitar melaksanakan 4,937 pemeriksaan di 2,465 premis, merangkumi sektor industri, pertanian, ladang hutan, kuari, loji kumbahan, juga projek-projek pembangunan, yang berpotensi mencetuskan pencemaran alam sekitar.

Katanya, sebanyak 3,358 kompaun dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan pelanggaran perundangan alam sekitar, dan 101 kertas siasatan dibuka untuk diambil tindakan perundangan di mahkamah.

Beliau menambah, 19 premis dikenakan sitaan peralatan, dan tujuh premis dikenakan perintah larangan beroperasi.

Kata beliau lagi, data pada tahun 2020, menunjukkan ramai operator dan pengusaha, kurang memberi keutamaan kepada komponen alam sekitar.

“Langkah-langkah pemantauan dan kuat kuasa amat perlu ditingkatkan agar mesej yang jelas disampaikan kepada semua pihak untuk tidak mengkompromikan faktor yang berkait alam sekitar,” ujarnya.

Menurut beliau, Allah SWT berfirman di dalam Surah Hud, ayat 61 yang bermaksud: “Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya”.

Beliau turut memetik hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya dunia ini cantik lagi menghijau, dan sesungguhnya Allah telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan”.

Jelasnya, inisiatif kerajaan Negeri Perak melalui Perak Bumi Lestari, merangkumi tiga komponen 3E iaitu alam sekitar (environment), ekonomi (Economic) dan sosial (equities).

Akmal berkata, ketiga-tiga elemen itu ke arah merealisasikan firman Allah SWT di dalam Surah Saba’ ayat 15 yang bermaksud: “…negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun”, iaitu negeri yang baik yang mendapat keredhaan Allah SWT.

“Negeri ini disifatkan dengan ketamadunan dari sudut sosial, ekonomi dan kelestarian alam sekitarnya,” ujarnya yang juga Adun Selama.

Tambahnya, beliau serta warga kerja Jabatan Alam Sekitar negeri akan terus bekerja bagi memastikan negeri iitu mencapai hasrat Perak Bumi Lestari demi menjunjung titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk melestarikan alam sekitar. – HARAKAHDAILY 29/8/2021

- Advertisement -