Kelantan tumpu projek pertanian berskala besar

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Kerajaan negeri yakin Dato’ Dr Nik Mohamad Zawawi Salleh mampu menggalas tugas sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 11 kerana mempunyai pengalaman dalam bidang berkenaan.

Pengerusi Jawatakuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, ahli Parlimen Pasir Puteh itu mempunyai pengalaman sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

- Advertisement -

Katanya dengan pengalaman itu dan bidang korporat dianggap mampu membantu Kelantan muncul sebagai negeri pengeluar terbesar industri makanan negara.

“Saya sebagai Exco pertanian akan bekerjasama rapat dengannya untuk melaksanakan projek-projek berasaskan pertanian berskala besar di Kelantan.

“Selain itu memajukan agro pelancongan yang berpotensi seperti Jeram Mengaji di Selising, Danau Tok Uban Pasir Mas dan Lojing di Gua Musang,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan kempen Semarak Jalur Gemilang peringkat Dun Selising di sini, hari ini.

Tuan Mohd Saripuddin yang juga Adun Selising berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan lebih RM1.3 juta untuk melahirkan usahawan tani muda tahun ini.

Menurutnya seramai 50 peserta dipilih sebagai projek permulaan sebelum dikembangkan secara lebih meluas.

Kata beliau projek itu membabitkan 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Kelantan.

“Kerajaan negeri akan membantu mereka dengan menyalurkan peruntukan lebih RM20,000 kepada setiap peserta yang terpilih untuk mengusahakan tanaman jangka pendek menerusi sistem fertigasi.

“Mereka dilatih dengan menggunakan kaedah pertanian moden dan mengadakan ladang kontrak dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi menjamin pemasaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/8/2021

- Advertisement -