14,000 ahli KRT diarah pasang Jalur Gemilang

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Seramai 14,000 ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Kelantan, diarah memasang Jalur Gemilang di rumah mereka bagi menyemarakkan lagi sambutan hari kemerdekan tahun ini.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kelantan, Shahrani Yusoff berkata, di negeri itu terdapat 465 KRT yang bergerak aktif.

Kata beliau, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi menjayakan program kempen mengibar Jalur Gemilang termasuk mengagih bantuan makanan kepada golongan B40 yang terkesan akibat ancaman Covid-19.

“Kempen ini membabitkan 10 daerah dengan slogan Satu Rumah Satu Bendera sebelum dan selepas Hari kemerdekaan dalam suasana normal baharu,” katanya kepada pemberita pada majlis Cakna KRT di Kampung Seri Aman di sini, hari ini.

Shahrani berkata, di samping kempen mengibar Jalur Gemilang, JPNIN turut membantu golongan yang memerlukan bantuan tanpa mengira kaum dan agama bagi mengeratkan perpaduan sesama komuniti setempat.

Menurut beliau, pihaknya turut mengarahkan setiap daerah mewujudkan pusat agihan bekalan makanan dengan penglibatan KRT bagi mengesan penduduk yang terkesan untuk dibantu.

“Di samping itu jawatankuasa pusat berkenaan digalak mencari dana daripada pelbagai sumber termasuk NGO dan swasta bagi membantu penduduk yang terjejas kerana penularan wabak sekarang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/8/2021

- Advertisement -