Kerja-kerja meroboh surau di ‘airport’ ikut prosedur

- Advertisement -

Oleh NUR AIN MANAF

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerja-kerja meroboh surau di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood berkata, surau berkenaan terpaksa diroboh kerana tapaknya terlibat dengan pembesaran LTSIP.

Bagaimanapun katanya surau itu akan dibina baru dengan keadaan lebih kondusif sejajar dengan pelan menaik taraf kawasan berkenaan.

“Kontraktor yang bertanggungjawab projek menaik taraf surau itu juga sedia maklum tentang cara kerja-kerja meroboh yang dilakukan dan mendapat panduan daripada pejabat mufti.

“Perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana tempat ibadat berkenaan dalam proses untuk dinaik taraf kepada yang lebih baik,” katanya, di sini.

Baru-baru ini, tular video viral kerja-kerja meroboh surau berkenaan di laman Facebook sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen.

Video berdurasi satu minit 19 saat, menunjukkan sebuah jentolak yang sedang meroboh bangunan surau berkenaan.

Ahmad Fathan yang juga Pengarah Urusetia Penerangan dan Komunikasi berkata, struktur bangunan yang diroboh merupakan bahagian konkrit, manakala binaan daripada kayu yang masih elok diagih kepada beberapa surau lain.

“Lagi pun surau lama agak tidak terjaga sebelum ini, jadi kita menyambut baik pembinaan bangunan yang baru untuk keselesaan orang ramai menunaikan solat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan WCT Bhd, anak syarikat milik penuh WCT Holdings Bhd memperoleh kontrak RM440 juta daripada Kementerian Pengangkutan untuk melaksanakan kerja naik taraf LTSIP.

Projek berkenaan merangkumi kerja membina, infrastruktur ‘landside‘, infrastruktur ‘airside‘ dan semua kerja kejuruteraan bagi mereka bentuk, membina, membekal, memasang, menyiap, menguji, melaksana serta menyelenggara LTSIP. – HARAKAHDAILY 29/8/2021

- Advertisement -