PRU15: PAS Kluang anjur kursus maya PACA

- Advertisement -

KLUANG: Jentera Pilihan Raya Parlimen (JPrP) PAS Kawasan Kluang telah menganjurkan Kursus Pengenalan ‘Polling Agent and Counting Agent’ (PACA) secara maya sebagai persediaan bagi menghadapi PRU ke-15.

Yang Dipertua PAS Kluang, Khairul Faizi Ahmad Kamil menyatakan bahawa tugas PACA merupakan antara tanggungjawab yang penting dalam proses teknikal dan taktikal pilihan raya.

- Advertisement -

“PACA merupakan benteng terakhir parti dalam proses pengundian dan pengiraan undi, sebab itulah PACA merupakan tugas yang penting dalam pilihan raya,” jelas beliau, kelmarin.

Sementara itu, Pengarah JPrP PAS Kluang, Zulkifli Mat juga turut menyatakan seharusnya setiap petugas PACA perlu mempunyai pengetahuan terhadap perjalanan dan proses pilihan raya.

“Selain daripada bersifat tegas dan berani, seorang PACA perlu memiliki ilmu dan maklumat yang tepat untuk mengelakkan sebarang perkara yang diragukan berlaku,” ujar beliau.

Seramai 32 peserta yang hadir diberi pendedahan mengenai tugas-tugas serta kepentingan PACA sewaktu pilihan raya berlangsung.

Turut hadir adalah Setiausaha Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Selvendran Velu dan Pengerusi Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Kluang, Ikhwan Basaruddin dan Ketua Muslimat PAS Kluang, Latipah Omar. – HARAKAHDAILY 28/8/2021

- Advertisement -