Keperluan perubahan paradigma dalam pendidikan

- Advertisement -

BAYI yang baru belajar bertatih lalu sering terjatuh tidak pernah serik untuk bangun dan mencuba lagi. Walaupun kadang mendapat risiko cedera atau sakit.

Kanak-kanak tidak kenal erti penat dan lelah meskipun telah seharian suntuk bermain aktif. Mereka tetap kelihatan cergas sama ada siang mahupun malam. Lagi dan lagi.

Kita tertanya, apakah yang membuatkan mereka atau mungkin pengalaman kita sendiri dulunya langsung tidak terdetik soal makar putus asa? 

- Advertisement -

Jawapannya ialah, kerana mereka atau kita yang dulunya itu punya inti motivasi intrinsik dalam diri. Ya. Motivasi intrinsik.

Motivasi

Motivasi terbahagi kepada dua. Yang pertama ialah motivasi intrinsik (dalaman). Dan yang kedua ialah motivasi ekstrinsik (luaran).

Motivasi intrinsik adalah motivasi yang berasal dari dalam diri seseorang tanpa adanya pengaruh luar. Atau dalam bahasa mudahnya tujuan melakukan sesuatu adalah diri sendiri. Disebabkan tekanan minat dan rasa ingin tahu yang meluap tinggi. Dan ini memberi kesan yang ampuh untuk jangka masa panjang.

Motivasi ekstrinsik pula bersifat luaran seperti ganjaran, hadiah, keinginan untuk gembirakan hati orang lain, bangga dengan pencapaian gred atau untuk menjaga reputasi sesuatu. Tidak dinafi semua itu ada manfaatnya. Tetapi keberkesanan itu tidak mampu bertahan lama.

Ramai orang fikir dengan pemansuhan UPSR atau peperiksaan seumpamanya, murid akan jadi malas dan hilang arah tuju. Walhal dengan tanpa peperiksaanlah, murid sebenarnya berpeluang membina motivasi intrinsik.

Justeru, ia memerlukan transformasi pendidikan yang direka bentuk dengan penuh wibawa. Bukan semberono dek kabur tujuan.

Sistem pendidikan

Berubahnya keadaan hari ini memaksa berlakunya anjakan paradigma dalam proses pendidikan. Ia bukan terkait soal penggunaan teknologi semata bahkan dimensinya lebih luas dari itu. 

Kita memerlukan budaya pedagogi yang benar-benar menyokong pembangunan insan seorang murid. Bukan sekadar mencetak kecemerlangan markah bertulis. Selain itu, pentaksiran perkembangan murid juga wajar diperhalusi. 

Pentaksiran bukanlah hanya tertumpu kepada penilaian sumatif bersifat nombor tetapi yang lebih penting ialah penerangan yang bersifat formatif perihal akademik, motivasi serta kawalan sosial kesejahteraan murid. Dan inilah yang sepatutnya terjadi zaman sekarang.

Integriti

Selaku yang mendukung amanah pendidikan, kita perlu akur bahawa keringat usaha yang dicurahkan adalah untuk memenuhi keperluan murid. Lalu objektifnya memanusiakan seorang manusia dengan telus dan tulus. Atau nama lain: Khalifah di muka bumi.

Seterusnya, bersedia menyiapkan mereka dalam menghadapi cabaran masa depan yang mungkin sampai tahap melangkaui usia hayat kita sendiri. Maka, ‘mindset’ keutamaan kita sepatutnya adalah proses murid-murid belajar. Bukan sekadar mahu kelihatan belajar. Itu integriti.

NAJWA ZAKARIA – HARAKAHDAILY 27/8/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100002026942907/posts/4221077981303058/

- Advertisement -