NGO bersolidariti bentuk kerajaan bersih, integriti

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Badan-badan bukan kerajaan (NGO) bersolidariti menuntut pembentukan kabinet kerajaan pimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengutamakan integriti dan amanah.

Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) bersama 188 NGO dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, pembentukan itu perlu meliputi empat landasan negara khususnya kontrak sosial warganegara.

Mereka juga menuntut pembentukan itu menekankan teras Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama rasmi negara, bahasa Melayu dan hak istimewa Bumiputera serta hak sah kaum lain.

“Keempat-empat pancang negara itu tidak boleh sama sekali diganggu gugat atau dicairkan oleh tuntutan tidak munasabah oleh mana-mana pihak.

“Apatah lagi dipermudah-mudahkan oleh kerajaan sendiri dengan melaksanakan sesuatu yang bercanggah dengan peruntukan dan semangat Perlembagaan,” jelas mereka.

Mereka berkata, kerajaan perlu menjadikan politik sebagai wasilah untuk pembinaan negara yang baik dan bukan menjadikannya sebagai matlamat untuk mendapat kuasa dan mempertahankan kuasa menurut kerangka politik Barat sekular sehingga mengetepikan soal akhlak dan menajamkan perseteruan semata-mata kerana mengejar kuasa.

“Amanah Yang di-Pertuan Agong dan Raja- Raja Melayu dalam pelantikan Perdana Menteri baru-baru ini mesti dinilai sebagai taklif atau tanggungjawab kepada negara, bukan sebagai kuasa dan keistimewaan.

“Dengan demikian, semua yang akan dilantik sebagai menteri, timbalan menteri dan lain-lain untuk membantu Perdana Menteri tidak wajar sama sekali menjadikan politik sebagai peluang untuk memenuhi kepentingan diri, keluarga atau kelompok, apatah lagi khianat terhadap amanah.

Tambah mereka lagi, Perdana Menteri juga disaran melantik ahli jemaahnya berdasarkan sosok berilmu, berkemahiran, cekap dan profesional dengan cara menyeimbangkan pelantikan profesional dengan ahli politik.

“Calon yang dipilih bertanding dalam pilihan raya dan menang bukan syarat dijanjikan jawatan kerana keutamaan wakil rakyat ialah berbakti kepada rakyat.

“Mana-mana individu yang mempunyai sejarah terlibat dengan kes rasuah dan integriti, tidak wajar dilantik dalam barisan kepemimpinan negara, negeri dan di peringkat lain.

“Demikian juga halnya dengan individu yang mempunyai kes mahkamah. Semua pemimpin hendaklah bersih,” tegas mereka.

Tambah mereka lagi, kerajaan baharu mesti merancang dan melaksanakan gerakan besar-besaran memerangi rasuah yang telah menjadi barah di negara ini.

Hal ini kerana, kajian menunjukkan lebih 70 peratus rakyat mengakui rasuah menjadi masalah negara dan ratusan bilion pendapatan negara hilang disebabkan ekonomi hitam yang berpunca daripada rasuah.

“SPRM hendaklah diberi wibawa yang sepenuh-penuhnya tanpa campur tangan politik. Demikian juga bidang kehakiman perlu dihormati agar proses pengadilan berlangsung dengan telus dan adil,” katanya.

Menurut mereka, kerajaan perlu melibatkan badan dan institusi bukan kerajaan sebagai penyumbang fikiran, pemantau dan sebagai pihak penyemak dan pengimbang dalam soal dasar dan pelaksanaan dasar negara untuk memastikan bahawa kerajaan sentiasa telus dan melakukan muhasabah.

“Sikap ‘sebagai pemimpin kami benar dan tahu akan segalanya’ perlu diketepikan,” kata mereka lagi. – HARAKAHDAILY 24/8/2021

- Advertisement -