Oleh SRIHAYANIS ABASRI
KUALA LUMPUR: Sebahagian barisan kabinet baharu Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sengaja dikekalkan demi kesinambungan usaha serta dasar kerajaan sebelum ini, kata Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar berkata,
Hal ini kerana kerajaan perlu fokus kepada krisis akibat pandemik Covid-19 ketika ini berbanding kepentingan melantik menteri baharu yang memakan masa untuk menguasai agenda yang dirangka untuk mengatasi wabak itu.
“Masa sangat suntuk untuk seseorang menteri menyesuaikan diri serta memahami dasar dan arah tuju kementerian baharu, sedangkan permasalahan negara perlu diselesaikan dengan segera.
“Ambil contoh pengekalan Menteri Pendidikan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) adalah kerana kesinambungan dasar dan gerak kerja mereka yang tergendala akibat pertukaran Perdana Menteri tempoh hari,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Walau bagaimanapun katanya, beliau mengharapkan kapasiti kabinet yang dibentuk kali ini tidak mempunyai kapasiti yang besar membabitkan beberapa jawatan yang tidak perlu.
“Saiz kabinet masih lagi besar, dengan kebanyakan kementerian mempunyai dua timbalan menteri, dan kurang profesional yang dilantik, sekaligus mengecewakan rakyat.
“Rakyat umumnya kecewa kerana beberapa menteri dan timbalan menteri yang tidak begitu menyerlah prestasi mereka, dan mempunyai beberapa kes terpalit masih dikekalkan.
Selain itu, beliau turut melihat bahawa PAS menggalas tanggungjawab besar dalam menjaga hal ehwal agama di dalam barisan kabinet itu.
“Cabaran besar juga kepada PAS kerana diberi tanggungjawab menjaga hal ehwal agama, sekaligus akan menjadi tumpuan rakyat mengenai kesungguhan PAS meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) 355 dan melunaskan segala usul yang PAS kemukakan semasa berada di posisi pembangkang.
“Namun, penegasan Perdana Menteri tadi bahawa prestasi akan dinilai pada hari ke 100 pemerintahan akan menjadi motivasi dan Indeks Prestasi Utama (KPI) kepada para menteri baharu untuk lebih berinovasi dalam menyelesaikan masalah rakyat.
Justeru, beliau sebagai rakyat Malaysia mengharapkan bahawa untuk melihat polisi dan keputusan yang cekap dan efektif, serta meletakkkan kepentingan rakyat di atas kerana piliihan raya semakin hampir, dan rakyat memerhati dan menilai. – HARAKAHDAILY 27/8/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!