Lima asas diri untuk capai pertolongan dan kemenangan

- Advertisement -

KUANTAN: Lima perkara penting mesti ada pada diri setiap jundullah dalam mendukung perjuangan PAS menegakkan Islam, demikian taujihat Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar.

Menurutnya, setiap gerak kerja adalah ibadah perjuangan mestilah dilakukan dengan ikhlas dan kebulatan hati hanya semata-mata kerana Allah S.W.T tanpa adanya tujuan selain daripada-Nya.

- Advertisement -

“Juga kena menambah kefahaman ilmu agama. Tetapi jangan pula tunggu ilmu banyak baru nak berdakwah. Beri kefahaman walaupun dengan sedikit ilmu yang ada kepada anak-anak, keluarga dan masyarakat.

“Di samping itu, mesti juga ada ilmu dalam kemahiran berkomunikasi,” ujarnya mengisi program Gelombang Munajat AKIFI Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuantan secara atas talian Zoom Meeting, kelmarin dahulu.

Peringat beliau juga, selaku penggerak perjuangan Islam di atas muka bumi Allah ini khususnya menerusi wadah PAS, hakikatnya semua adalah hamba Allah yang dengan itu jangan lupa muhasabah diri.

Peringat beliau yang juga ADUN Tanjung Lumpur, selaku hamba mestilah mempunyai rasa diri hina dan lemah di sisi Allah dengan sentiasa pula memohon pertolongan dan kekuatan dari-Nya.

“Juga kena bersabar dan memiliki jiwa besar sehingga datangnya pertolongan Allah dan kemenangan,” ujar beliau meneguhkan keyakinan dan semangat untuk istiqamah meneruskan perjuangan.

Program dipimpin Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan Muslimat PAS Kuantan, Ustazah Rosmani Mustafa ini diikuti 114 peserta Muslimat PAS Cawangan-cawangan dan merupakan program rutin.

“Pelaksanaan program munajat ini sebenarnya telah dijadualkan secara harian melibatkan penggiliran Cawangan-cawangan dan dua kali sebulan secara gabungan semua Cawangan dan sekali sebulan gabungan peringkat negeri,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/8/2021

- Advertisement -