Akta lompat parti jamin kestabilan politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Akta lompat parti wajar digubal bagi memastikan landskap politik negara berada pada tahap stabil serta tidak berlaku pengkhianatan kepada parti.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS menyokong penuh sekiranya akta itu dibentang serta dibahas di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, akta tersebut memerlukan sokongan dua pertiga ahli-ahli Parlimen bagi memastikan ia dapat digubal serta dilaksanakan.

- Advertisement -

“Ia perlu sokongan dua pertiga majoriti, kita harap parti akan lebih kuat dan jumlah kerusi lebih kukuh dalam Pilihan Raya Umum (PRU15), sebagai pra syarat ia dapat dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Menyentuh mengenai persediaan PAS menjelang PRU15, beliau berkata, parti itu akan menggerakkan kekuatan yang ada secepat mungkin.

Tambah beliau, pihaknya juga menggerakkan seluruh jentera untuk fokus kepada pengundi 18 tahun serta pengundi kali pertama.

“PAS telah gerakkan jentera parti di semua peringkat. Perkukuhkan parti dengan daftar pemilih ditingkatkan, fokus kepada pengundi baru khusus 18 tahun dan first time voters,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Di samping itu kata beliau, dana bagi persediaan menghadapi PRU15 turut digerakkan bagi memudahkan serta melancarkan proses kempen.

Selain itu juga kata beliau, pihaknya juga bersedia meningkatkan penguasaan media baharu yang bergerak seiring arus perkembangan semasa sebagai persediaan menjelang PRU15. – HARAKAHDAILY 25/8/2021

- Advertisement -