40 peratus armalah di Kelantan usia bawah 40 tahun

- Advertisement -

KOTA BHARU: Di Kelantan sehingga sekarang terdapat seramai 50,172 armalah (ibu tunggal) yang berdaftar dengan kerajaan negeri.

Daripada jumlah itu kira-kira 60 peratus merupakan golongan armalah berumur 40 tahun ke atas dan 40 peratus lagi armalah usia di bawah 40 tahun, yang masih produktif.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, data armalah tersebut direkod Penyelaras Pembangunan Armalah Dun (PPAD) berdasar peringkat umur.

- Advertisement -

Kata beliau pihaknya bercadang untuk menyenaraikan lebih terperinci data armalah mengikut bilangan anak.

“Bagi membantu golongan terbabit pelbagai bantuan diberi kerajaan negeri antaranya Bantuan Kanak-Kanak (BKK) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bantuan MAIK dan PERKESO.

“Selain itu bantuan makanan al-It’am secara bulanan yang melibatkan 11,000 keluarga, bantuan makanan di musim pandemik Covid-19,” katanya pada sesi penggulungan persidangan Dun Kelantan semalam.

Sebelum itu Adun Tawang Dato’ Hassan Mohamood membangkitkan berkaitan kebajikan khususnya golongan armalah di Kelantan.

Mumtaz juga berkata, kerajaan negeri membantu armalah melalui program Tadahan Rahmat dan Jejak Asnaf Covid-19 Komuniti (JACK).

Menurutnya juga mana-mana armalah yang belum menerima sebarang bantuan kerajaan negeri boleh menghubungi JKM, PPAD, dan Pusat Khidmat Dun (PKD) berdekatan bagi mendapatkan lanjut.

“Kerajaan negeri juga merancang menyediakan Baitul Muslim Armalah (BMA) sebagai khidmat mengahwinkan anak-anak armalah,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/8/2021

- Advertisement -