Tahap imuniti kelompok syarat masjid dibuka semula

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Masjid dan surau di Kelantan hanya akan dibuka kepada orang awam dengan kapasiti normal sebaik sahaja rakyat di negeri itu mencapai tahap imuniti kelompok.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Tan Sri Tengku Rizam Tengku Abdul Rahman berkata, setakat ini prosedur operasi standard (SOP) sedia ada masih dikuat kuasa di negeri itu.

Katanya, penetapan hanya empat jemaah dibenar menunaikan solat di masjid yang membabitkan imam, bilal dan pegawai-pegawai masjid.

- Advertisement -

“Kelantan masih mengekalkan hanya empat jemaah sahaja yang dibenarkan solat di masjid.

“Kelantan merekodkan angka jangkitan masih mencecah empat angka, jadi kita kekalkan had bilangan jemaah di masjid seperti mana titah Sultan Kelantan yang mengambil kira pandangan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji semalam.

Bagaimanapun kata beliau, sekiranya berlaku penurunan kes jangkitan dan vaksinasi di Kelantan sudah meningkat, pihaknya akan teliti semula SOP.

Terdahulu beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan merasmikan Majlis Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan Maik bagi Januari hingga Jun 2021.

SOP Maik sebelum ini hanya membenarkan empat jemaah menunaikan solat di masjid dan surau di seluruh Kelantan dikuatkuasakan sejak 1 Jun lalu. – HARAKAHDAILY 24/8/2021

- Advertisement -