Sambut baik hasrat TMJ bertemu guru tolak vaksin

- Advertisement -

PERTUBUHAN Kebajikan Pendidik Ummah (PENDIDIK) Malaysia menyambut baik tindakan Tunku Mahkota Johor, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang berhasrat untuk bertemu seramai 779 orang guru di Johor yang tidak bersedia untuk di-vaksin pada Jumaat ini.

Kami mengharapkan sesi pertemuan nanti dapat berlangsung dalam suasana yang muhibbah dan pencerahan dapat dibuat mengapa mereka menolak vaksin, yang mana kemungkinan ada sebab tertentu seperti faktor kesihatan, alahan atau kehamilan yang memungkinkan guru-guru ini menangguhkan hasrat untuk divaksinasi.

PENDIDIK optimis dan percaya pasti ada solusi atau kaedah lain untuk mencegah penularan wabak COVID-19 daripada berlaku di kalangan warga pendidik di Johor bagi mengelakkan sebarang masalah yang timbul.

Walau bagaimanapun, pasti ada cara terbaik untuk menyelesaikan permasalahan ini sekiranya warga pendidik menolak bukan atas sebab anti-vaksin tetapi mungkin atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.

Apa yang penting diharap ianya bukanlah disebabkan ingkar perintah, kerana bagi penjawat awam pasti mereka terikat dengan etika perkhidmatan awam dan profesionalisme keguruan yang  perlu akur dengan segala arahan kerajaan.

Namun sekiranya warga pendidik ini dengan sengaja mahu membelakangkan arahan atau ingkar perintah tanpa sebab yang rasional, maka PENDIDIK menyokong jika Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor mengambil tindakan yang sewajarnya kerana sepatutnya guru perlu menjadi contoh teladan kepada murid, ibu bapa dan masyarakat.

PENDIDIK juga menyokong penuh dan merakamkan jutaan terima kasih atas kerjasama antara kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bagi memastikan program vaksinasi mencapai kejayaan 100 peratus.

Seramai 779 orang guru yang menolak vaksin ini perlu diberi sesi kaunseling, penerangan dan langkah sewajarnya perlu diambil  supaya tiada sebarang masalah berlaku apabila sesi persekolahan dibuka jangkaan 3 Oktober nanti.

PENDIDIK juga amat mengalu-alukan penglibatan warga sekolah, ibu bapa dan penjaga dari segi kerjasama ketika sesi pembukaan persekolahan nanti.

Terima kasih.


NORMALA SUDIRMAN
Presiden Pertubuhan Kebajikan Pendidik Ummah Malaysia (PENDIDIK)
24 Ogos 2021 | 15 Muharam 1443 – HARAKAHDAILY 24/8/2021

- Advertisement -
- Advertisement -