Varian Delta Covid-19 dominan di Kelantan

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Kes harian Covid-19 di Kelantan dijangka akan reda apabila imuniti kelompok sudah mencapai 80 peratus.

Bagaimanapun Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dato’ Dr Zaini Hussin berkata, ia akan menjadi kenyataan sekiranya tidak ada varian baharu di negeri itu.

Kata beliau kes harian Covid-19 di Kelantan dikesan meningkat selepas Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

- Advertisement -

Katanya, kini kes harian Covid-19 mencatat empat angka selain kadar kebolehjangkitan (Rt) juga melebihi 1.0 dalam tempoh dua minggu.

“Sekarang kita mengesan 28 varian daripada sampel yang dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), namun mengikut trend yang ada, perebakan banyak varian Delta yang dominan di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) bagi Januari hingga Jun 2021 di sini semalam.

Program itu disempurnakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz di Dewan Serbaguna Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji.

Dr Zaini juga berkata, Kelantan mencatat sehingga lapan kematian sehari akibat Covid-19 dalam tempoh sebulan susulan kemunculan varian Delta dalam komuniti.

Tambahnya, jumlah kematian meningkat berkemungkinan disebabkan aktiviti kunjung mengunjung ketika sambutan Hari Raya Aidiladha.

Katanya, sebelum Hari Raya Aidilfitri, kadar kematian yang dicatatkan ialah antara dua hingga tiga kematian sehari.

Namun apa yang berlaku sekarang katanya, ia meningkat sehingga sekali ganda.

Dr Zaini juga berkata, peningkatan kes di Kelantan disebabkan beberapa faktor termasuk virus sudah ada dalam komuniti yang menyebabkan wujudnya sporadik dan kluster di negeri itu.

“Jadi orang ramai perlu kekal cakna pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan pada masa yang sama kita sedang merancakkan proses vaksinasi di Kelantan.

“Sehingga sekarang sebanyak 35 peratus rakyat di Kelantan sudah mendapat suntikan dos pertama dan lebih kurang 23 peratus sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/8/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -