Satukan semua hadapi COVID-19, tangani krisis ekonomi

- Advertisement -

SAYA menjunjung kasih titah Diraja semalam. Titah yang penuh dengan nasihat dan harapan dari Pemangku Raja Pahang terhadap kerajaan, Ahli-ahli Yang Berhormat dan rakyat. Tahniah Pahang dan khususnya orang Bera. Ramai upload gambar. Saya tak ada gambar nak upload, cuma nak kabor pernah mondok di Bukit Keledang tahun 80-an.

Saya juga ingin ucapkan tahniah kepada YAB Dato Sri Ismail Sabri (DSIS) atas pelantikan sebagai Perdana Menteri (PM) ke-9. Kejayaan ini adalah hasil perpaduan dan kerjasama erat 114 Ahli-ahli Parlimen dari pelbagai parti BN, PAS, BERSATU, STAR, GPS, PBRS dan lain-lain.

- Advertisement -

Perpaduan ini mesti diteruskan dan diperkukuh bagi menjamin kestabilan politik yang menguntungkan agama, bangsa dan negara… Allah berpesan:

وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ ٤٦

“Dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”

(al-Anfal 46)

Dato Sri Yang Di-Pertua! 

Tahniah Menteri Besar dan pasukan Kerajaan Pahang termasuk frontliners di atas usaha gigih mengawal, merawat dan memutuskan rantaian COVID-19 sehingga berjaya meletakkan Pahang antara negeri yang jangkitan COVID-19 harian tidak sampai 4 angka dan telah memenuhi indikator suntikan vaksin melebihi 40 peratus iaitu lebih 480,000 rakyat dewasa lengkap dua dos suntikan dan insya-Allah akan masuk ke PPN fasa ke-3.

Namun, ia masih membimbangkan, jangkitan masih tinggi. Justeru program PPV harus ditingkatkan lagi terutama di kawasan Felda dan pendalaman. Supaya target untuk mencapai sasaran 80 peratus rakyat Pahang berjaya dicapai.

Dato Sri Yang Di-Pertua!

Saya mengamati titah Diraja semalam. Baginda menyeru agar kita semua berpegang kepada prinsip mendahulukan kepentingan rakyat. Baginda juga menasihatkan agar wakil rakyat berubah kepada politik yang lebih matang, jujur dan ikhlas. Saranan dan nasihat ini bukan sahaja di Pahang, bahkan jika kita perhatikan semua Raja negeri-negeri menekankannya sewaktu merasmikan sidang DUN.

Lebih keras dan tegas lagi. Sultan Johor memberi amaran akan membubarkan dewan jika wakil rakyat terus berbalah. Inilah juga harapan dan kesungguhan YAB Perdana Menteri agar seluruh kepimpinan politik dapat menumpukan perhatian bagi mewujudkan ketenangan dan keharmonian agar kerajaan dapat memberi fokus utama kepada menangani pandemik COVID-19 dan membangun ekonomi negara dan rakyat.

PAS menyambut baik pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ sebagaimana disebutkan oleh YAB Perdana Menteri. Semua ini adalah pendekatan yang bertujuan menyatukan semua pihak dalam menghadapi Pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi negara.

Sesungguhnya jawatan khalifah mengurus dan mentadbir dunia ini adalah satu kemuliaan yang Allah beri kepada manusia sahaja. Kerana makhluk lain tiada kelayakan dan kemampuan. Allah berfirman:

إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومٗا جَهُولٗا ٧٢ 

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”

(al-Ahzab 72)

Dato Sri Yang Di-Pertua!

Tuanku juga ada menyentuh sektor pertanian adalah penyumbang besar kepada pembangunan negeri. Ia hendaklah diteruskan dan ditingkatkan. Antaranya mewujudkan TKPM tambahan di kawasan strategik. Termasuklah di DUN saya Jengka. Merangka perancangan bagi melahirkan tenaga kerja atau buruh dari kalangan anak-anak tempatan. Saya rasa, ini sahaja ucapan saya dan saya menyokong titah Diraja.

YB USTAZ SHAHRIL AZMAN ABDUL HALIM
ADUN Jengka – HARAKAHDAILY 24/8/2021

- Advertisement -