Ahli politik perlu tunjuk teladan baik – GAMIS

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Ahli politik perlu menunjukkan teladan yang baik untuk menyelami kaedah pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Muhammad Arif Hakimi Maludin, semangat yang ditunjukkan Ismail Sabri untuk mengadakan kerjasama bipartisan itu wajar disambut.

- Advertisement -

“Kalau betul hendak dijadikan (Keluarga Malaysia) sebagai panduan untuk pembentukan kabinet akan datang, ataupun dalam proses pentadbiran Malaysia, ia sepatutnya tidak bersifat umum semata mata.

“Ahli politik perlu tunjukkan contoh. Sebab kita tengok, kalau politik tidak stabil, maka bagaimana kita hendak lihat ekonomi stabil, pentadbiran stabil dan pentadbiran yang boleh menjamin kestabilan dan juga keharmonian dalam negara.

“Kita mengharapkan kerjasama ahli politik, bukan semata-mata kerajaan dan juga pembangkang, libatkan semua sekali, termasuk NGO (badan bukan kerajaan) dan NGO Islam, kerjasama merentasi bangsa agama dan sebagainya,” ujarnya ketika dihubungi Harakahaily, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas berhubung tawaran kerajaan kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Mengulas mengenai jaminan kerajaan untuk memastikan suara anak muda didengari dan diberi tumpuan, katanya, GAMIS berharap ia bukan sekadar retorik politik.

“Mana-mana pemimpin pun memang dia akan tawarkan benda yang baik-baik sahaja untuk rakyat, tiada yang buruk.

“Namun kita masih anggap ia satu perkara yang positif, cuma kita harap ia tidak menjadi retorik politik.

“Kalau betul hendak angkat suara, betul-betul angkat suara. Tidak bersifat selektif, perlu raikan semua pihak.

“Bukan semata-mata kerajaan, bukan semata-mata golongan yang setuju dengan dia, tetapi juga yang bertentangan dengan dia.

“Contohnya GAMIS, walaupun GAMIS bersifat neutral, ataupun bebas dari ideologi politik, tetapi kita harapkan bahawa suara-suara tentang isu-isu mahasiswa walaupun bersifat desakan, dia boleh terima,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/8/2021

- Advertisement -