PENA harap tiada lagi cubaan runtuhkan kerajaan

- Advertisement -

PERSATUAN Penulis Nasional Malaysia (PENA) menyambut baik penyelesaian krisis politik di negara ini dengan pelantikan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, bersama seluruh perkenan Raja-raja Melayu.

Berasaskan tatacara pemilihan yang telah mengikut Perlembagaan dan disetujui oleh semua pemegang taruh, iaitu parti politik yang berkepentingan, pelantikan ini sepatutnya tidak lagi dicabar dan diganggu-gugat oleh mana-mana pihak dengan niat untuk menimbulkan krisis keyakinan.

- Advertisement -

Negara sudah melalui fasa konflik yang sangat membebankan kerajaan untuk melaksanakan proses menangani pandemik COVID-19 yang memberikan kesan buruk kepada ekonomi dan kehidupan rakyat. Kini tibalah masanya segala usaha ditumpukan kepada membela rakyat dan membangunkan negara.

Apabila Perdana Menteri sudah dilantik dengan kaedah yang disepakati, semua pihak sewajarnya memberikan kerjasama penuh untuk membantu kerajaan memulihkan negara daripada bencana yang panjang dan berantaian ini, sekurang-kurangnya tidak menimbulkan masalah lagi.

Sebarang percubaan untuk meruntuhkan kerajaan dengan menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat dan pelabur hanya akan menyulitkan proses pemulihan itu. Sekarang bukannya masa untuk menguji kekuatan parti masing-masing, tetapi kini ialah masa untuk bersatu. 

Tidak timbul andaian bahawa usaha membantu kerajaan hanya akan menaikkan nama parti-parti yang memegang kuasa urus tadbir negara dan memudarkan imej parti-parti yang tewas dalam perebutan kuasa.

Malahan, dengan memberikan kerjasama yang padu sehingga negara dapat melepaskan diri daripada cengkaman pandemik ini, semua pihak akan menerima manfaatnya.

Kepada pihak kerajaan di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pula, inilah masanya untuk memperlihatkan bahawa konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang dimasyhurkan dalam ucapan sulungnya berupaya diterjemahkan dengan sehabis sempurna.

Dengan andaian dan perakuan bahawa frasa ini bersifat lebih inklusif, merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum, Konsep Keluarga Malaysia mestilah diangkat dalam bentuk yang lebih konkrit dan dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas agar tidak ada yang berasa tercicir. 

Kami juga berharap agar pelantikan menteri yang akan melaksanakan amanah pentadbiran kerajaan nanti dibuat dengan telus, yakni mereka mestilah orang yang berkelayakan untuk memikul tanggungjawab portfolio masing-masing. Masa untuk berpolitik perlu dibataskan kerana kepentingan hidup rakyat merupakan fokus utama dan paling mendesak ketika ini.

Sekian

DR. MOHAMAD SALEEH RAHAMAD
Presiden
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) – HARAKAHDAILY 23/8/2021

- Advertisement -