Kibar jalur gemilang, lambang semangat patriotisme

- Advertisement -

Oleh SAIFUL ISLAM ABDUL RAHMAN

KAMPAR: Jalur Gemilang merupakan lambang negara yang mampu membangkitkan semangat patriotisme dalam jiwa setiap rakyat Malaysia, kata Yang Dipertua PAS Kampar, Ustaz Mohd Sofian Rejab.

Menurutnya, dengan semangat itu, ia sekaligus dapat mencetuskan solidariti bersama dalam mendepani sebarang cabaran mendatang.

- Advertisement -

Semangat itu dapat dilihat melalui inisiatif PAS Kawasan Kampar yang melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan 2021 yang berlangsung di hadapan Markas PAS kawasan ini, di sini, semalam.

Selain itu katanya, kempen yang dijalankan itu adalah bagi menyemai semangat patriotisme dengan mengedarkan Jalur Gemilang secara pandu lalu kepada wakil-wakil PAS cawangan.

“Marilah kita bersama mengibarkan Jalur Gemilang demi menzahirkan rasa cinta kepada negara.

“(Dalam pada itu) usah kita lupa agar iringi doa dan harapan supaya negara Malaysia ini akan segera pulih daripada wabak Covid-19 dan kita dapat kembali menjalani kehidupan normal,” ujar beliau.

Ustaz Mohd Sofian turut menyeru seluruh warga Kampar agar mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing termasuk di bangunan-bangunan pejabat, gedung-gedung perniagaan serta pada kenderaan dengan penuh bangga, tertib dan hormat meskipun berlainan kaum, agama dan latar belakang sebagai tanda penyatuan melawan pandemik Covid-19.

Ulasnya, di waktu peperangan melawan pandemik Covid-19 sedang memuncak, seluruh rakyat Malaysia perlu menzahirkan semangat patriotisme yang luar biasa dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bersama mendukung Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Datuk Mohd Sukari Ab Hamid berkata, tema ‘Malaysia Prihatin’, dipilih sekali lagi sama seperti tahun lepas, kerana Malaysia masih dalam perjuangan memerdekakan diri dari pandemik Covid -19.

Sambutan Hari Kebangsaan 2021 dijadual berlangsung pada 31 Ogos ini di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya.

Mohd Sukari turut menyeru orang ramai untuk memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman dan kenderaan masing-masing, selain menyertai program dan pertandingan yang dianjurkan.

Maklumat lanjut mengenai program dan pertandingan yang dianjurkan boleh dilayari di Portal Merdeka360 iaitu www.merdeka360.my.- HARAKAHDAILY 22/8/2021

- Advertisement -