Tiada bulan madu buat Perdana Menteri

- Advertisement -

TAHNIAH Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, yang dilantik sebagai Perdana Menteri, semalam. Tiada siapa sangka anak Temerloh, Pahang, ini akan menjadi pemimpin nombor satu negara.

Bayangkan pada 12 Mac lalu, Ismail Sabri dilantik sebagai Menteri Kanan Pertahanan (kluster keselamatan) dalam Kabinet bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Empat bulan kemudian, pada 7 Julai, dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Apabila Kabinet secara automatik terbubar selepas Muhyiddin meletakkan jawatan kerana kehilangan sokongan Ahli Dewan Rakyat pada 16 Ogos, jawatan Ismail Sabri juga berakhir.

- Advertisement -

Beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah. Bagaimanapun seperti kata orang tua-tua, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Konsensus di kalangan parti politik yang mendukung Perikatan Nasional (PN) dan juga partinya sendiri, membolehkan nama Ismail Sabri dikemukakan sebagai calon tunggal menghadapi calon Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Beliau layak dengan 114 pencalonan.

Ismail Sabri juga mencatat sejarah sebagai Perdana Menteri pertama yang dilantik daripada kalangan bukan Presiden atau Pengerusi parti. Beliau hanya Naib Presiden Umno.

Bagaimanapun, Ismail Sabri tidak mempunyai tempoh berbulan madu. Jika sebelum ini, kepemimpinan Perdana Menteri baharu akan dinilai berdasarkan tempoh 100 hari yang dianggap sebagai berbulan madu. Namun buat Ismail Sabri, beliau tiada tempoh itu.

Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad, kali pertama menjadi Perdana Menteri pada 1981, kepulangannya ke Alor Setar, disambut dengan meriah. Ini termasuk diarak dengan menaiki gajah, sekali gus menunjukkan kehebatan sambutan yang dibuat.

Ismail Sabri tiada masa untuk semua ini kerana pasti yang ada dalam fikirannya sekarang ialah kerja, kerja dan kerja. Apakah tindakan atau keputusannya pada hari-hari pertamanya sebagai Perdana Menteri atau hari pertama memasuki pejabat di Putrajaya, semua mata memandang ke arahnya.

Ini kerana beliau dilantik ketika wabak Covid-19 masih menakutkan dengan angka positif baharu masih tinggi, iaitu melebihi 20,000 kes sejak beberapa hari lalu. Walaupun sudah ada sinar dengan peratusan vaksinasi populasi dewasa yang tinggi, masih banyak kerja yang perlu dilakukan.

Tuntutan untuk mengimbangkan antara usaha mengekang penularan Covid-19 dan pembukaan ekonomi juga penting. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelbagai sekatan yang dilaksanakan sedikit sebanyak memberi tekanan terhadap ekonomi.

Sebagai Perdana Menteri kepada setiap rakyat, beliau sedar tanggungjawabnya bukan hanya terhadap pemodal besar tempatan dan asing, malah peniaga kecil di jalanan.

Suatu perkara yang ditunggu-tunggu oleh rakyat ialah wajah Kabinet Ismail Sabri yang bertanggungjawab bekerja sebagai satu pasukan membantu Perdana Menteri memastikan dasar dan strategi yang digariskan menjadi kenyataan.

Siapa yang akan dilantik, adakah mantan anggota Kabinet akan dilantik semula, adakah golongan profesional dan bukan ahli politik juga akan dilantik, siapa pula muka baharu dan siapa pula yang akan digugurkan. Begitu juga siapa pula Timbalan Perdana Menteri atau menggunakan kaedah Muhyiddin pada peringkat awal pentadbirannya, iaitu hanya menteri kanan. 

Ada juga berpandangan bahawa anggota Kabinet tidak perlu ramai dengan memberi contoh Britain dan China hanya mempunyai anggota Kabinet dalam lingkungan 20 hingga 25 orang sahaja.

Bagaimanapun, saiz Kabinet besar bukan perkara baharu. Hampir semua Perdana Menteri sebelum ini mempunyai anggota Kabinet yang besar. Pada suatu ketika, Menteri dan Timbalan Menteri, dibantu oleh Setiausaha Parlimen. Bayangkan saiz pentadbiran kerajaan ketika itu!

Mungkin dalam suasana krisis kesihatan dan ekonomi sekarang, ada yang berpendapat saiz Kabinet kecil atau sederhana sudah mencukupi.

Ismail Sabri sebagai ahli politik berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan sudah tentu cukup arif untuk membuat keputusan yang bijaksana bagi memenuhi tuntutan politik dan memastikan kecekapan pentadbiran kerajaan baharunya.

Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diperkenalkan oleh pentadbiran Muhyiddin mungkin akan diteruskan bagi memastikan momentum sedia ada tidak terganggu. Namun rakyat juga ingin tahu apakah penambahbaikan yang akan dilakukan.

Adakah lebih banyak bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat Covid-19 akan diperkenalkan atau lebih banyak insentif akan diberikan kepada industri untuk merangsang pemulihan ekonomi negara. Semua ini ditunggu-tunggu, sekali gus memperlihatkan pembaharuan yang akan dibawa.

Selain PN dan Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan sekarang, kerjasama parti pembangkang juga penting. Ini kerana tempoh Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri tidak lama, iaitu kira-kira 18 bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 perlu diadakan.

Ada baiknya ahli politik mengikut nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menegaskan kepada semua parti politik supaya mengangkat perpaduan dalam kalangan ahli Dewan Rakyat untuk memberi fokus kepada pentadbiran negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong mengingatkan supaya ahli-ahli politik membantu satu sama lain tanpa mengira mereka di blok kerajaan atau pembangkang.

Rakyat sudah bosan dengan ketidakstabilan politik. Sebarang cubaan menggugat kerajaan sedia ada tidak boleh diterima kerana bukan sahaja ingkar terhadap nasihat Yang di-Pertuan Agong, malah tidak menghormati suara majoriti rakyat. Berilah peluang kepada Pak Long! – HARAKAHDAILY 22/8/2021

- Advertisement -