Ismail Sabri berdarah Kelantan, gemar nasi kerabu

- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

KUALA LUMPUR:
Ramai yang mungkin tidak sedar mengenai satu fakta menarik tentang Perdana Menteri baharu Malaysia yang dilantik hari ini, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, 61, yang sebenarnya ada darah Kelantan.

Klu tentang perkara tersebut dicetuskan rentetan sekeping gambar ‘klasik’ beliau yang didapati melalui suatu grup WhatsApp. Gambar tersebut memperlihatkan Ismail Sabri semasa muda dan dikatakan keluarganya berasal dari Salor, Kota Bharu.

“Papa memang gemar makan nasi kerabu (biru) dan kuih tradisional Kelantan iaitu lompat tikam, jadi di situ dah boleh lihat ciri-ciri papa yang memang ada darah Kelantan,” akui penyanyi dan pelakon, Dafi, 33, mengenai bapa kesayangannya itu ketika dihubungi Harakahdaily.

- Advertisement -

“Budu pun memang papa makan,” tambah Dafi yang menegaskan dirinya sendiri juga makan budu yang cukup terkenal di Kelantan itu.

Pemilik nama sebenar Gadaffi Ismail Sabri itu turut memberitahu, bapanya yang dipanggil  dengan panggilan ‘papa’ itu merupakan anak kelahiran Temerloh, Pahang tetapi keluarga bapanya sememangnya berasal dari Kelantan sebelum berpindah ke Pahang.

“Arwah kedua-dua ibu dan bapa kepada papa saya memang berasal dari Kelantan tetapi berpindah ke Pahang sebelum papa dilahirkan lagi. Mereka meninggal dunia pun di Pahang. Atuk saya meninggal ketika papa masih belajar di Tingkatan 6. Saya sendiri pun memang tak sempat jumpa mereka semasa mereka masih hidup,” ujar Dafi.

Anak kedua Ismail Sabri itu bagaimanapun berkata bapanya yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik itu sampai sekarang, masih ada ahli keluarga dan saudara mara yang menetap di Kelantan.

“Papa memang ada pernah bawa kami sekeluarga balik melawat ahli keluarga dan saudara mara di Kelantan sebelum ini,” katanya lagi.

Bercerita lanjut mengenai bapanya itu, Dafi memberitahu, dia berasa bertuah kerana dikurniakan seorang bapa yang bersifat family-oriented.

“Sesibuk mana pun papa, dia tetap akan mengutamakan kami sekeluarga. Kalau tidak berkesempatan untuk berjumpa apabila masing-masing sibuk dengan pelbagai urusan dan berada di lokasi berlainan, kami tetap akan berhubung melalui video call,” katanya yang mempunyai seorang kakak dan dua adik lelaki.

Ismail Sabri mengahwini Datin Seri Muhaini Zainal Abidin pada tahun 1986 dan dikurniakan empat anak, tiga lelaki dan seorang perempuan. Kakak Dafi, Nina Sabrina merupakan isteri kepada pereka fesyen terkenal tanah air, Jovian Mandagie.

Tambah Dafi, apa yang cukup dikagumi tentang bapanya yang merupakan graduan fakulti undang-undang dari Universiti Malaya itu adalah cara dia dan adik-beradik yang lain dididik bapanya itu.

“Papa mendidik kami agar melayani orang lain sebagai insan manusia tanpa mengira status,” ujarnya.

Menyentuh tentang kemungkinan bapanya itu dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu sebelum ini, Dafi menegaskan, perkara itu bukan menjadi topik utama perbincangan dalam keluarganya.

“Kami sekeluarga jarang berbincang mengenai politik dengan papa, namun kami sudah semestinya gembira dan berbangga papa telah dilantik sebagai Perdana Menteri baharu Malaysia.

“Kami akan sentiasa memberi sokongan moral kepada papa yang telah bekerja keras selama ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/8/2021

- Advertisement -