114 MP sokong Dato’ Seri Ismail Sabri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seramai 114 Ahli Parlimen disahkan menghantar surat Akuan Bersumpah (SD) menyokong Ahli Parlimen Bera, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

- Advertisement -

Menurut Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menemuduga setiap ahli Parlimen yang dipanggil menghadap baginda dalam tempoh satu hingga ke dua minit.

“Hari ini, 114 Ahli Parlimen yang memberi sokongan SD kepada Dato Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Bera sebagai calon Perdana Menteri telah di temuduga secara ringkas seorang demi seorang oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Di dalam pertemuan ringkas itu setiap Ahli Parlimen tentunya menyatakan nama dan tempat daripada mana kemudian tentunya menyatakan bahawa memberi sokongan kepada Dato Seri Ismail Sabri Yaakob tanpa paksaan dengan sukarela.

“Itulah antara dialog Ahli Parlimen, terutama diri saya dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Saya kira ini adalah satu pengalaman yang penting untuk diri saya sendiri, kepada 114 Ahli Parlimen yang menyokong Dato’ Seri Ismail Sabri.

“Semua 114 orang dan tadi apabila saya keluar tadi, rakan-rakan Ahli Parlimen PAS termasuk Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pun ada, kumpulan saya lah,” ujarnya ketika ditemui media selepas selesai menghadap Agong di Istana Negara, hari ini.

Tambah beliau, ahli-ahli Parlimen yang dipanggil menghadap Agong dibahagikan kepada lima kumpulan yang dijadualkan bermula jam 10 pagi sehingga kumpulan terkahir pada jam 4.20 petang.

Kesemuanya terdiri daripada ahli Parlimen Umno, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)

Katanya, terdapat juga Ahli Parlimen yang mengemukakan SD secara dalam talian, namun jumlah yang dipastikan menyokong Dato’ Seri Ismail Sabri adalah 114 SD kesemuanya.

“Apabila 114, dengan ini kita sedia maklum kedudukan majoriti adalah kepada Dato’ Seri Ismail Sabri.

“Dialog (bersama Agong) sekitar satu (hingga) dua minit. Sebab ramai, tidak ada masa unthk bersembang apa semua sebab tentunya Tuanku ingin menyelesaikan segera setiap orang itu.

“Jadi tidak adalah dialog-dialog yang lain, Tuanku pesan supaya menjaga kesihatan diri, kepada saya, itulah pada saya,” katanya lagi.

Beliau dalam masa sama mengucapkan terima kasih kepada media yang menurutnya sanggup berkampung di pintu-pintu Istana Negara untuk hari yang bersejarah ini.

Katanya, mudah-mudahan selepas rakyat Malaysia mempunyai kerajaan yang terus membela nasib rakyat, dapat menyelesaikan masalah akibat krisis Covid-19 dan juga masalah ekonomi negara.

“Kemudian, apabila keadaan telah stabil, lepas herd immunity, stabil segalanya dan Covid-19 pun dah semakim berkurang, satu masa satu ketika yang tidaklah berapa lama, pada pandangan saya lah, kita kembalikan mandat kepada rakyat,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 19/8/2021

- Advertisement -