Senario peletakan jawatan berbeza Muhyiddin-Tun M

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri berbeza dengan senario yang berlaku di zaman Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata senarionya nampak sama tetapi hakikatnya berbeza.

- Advertisement -

“Kalau kita tengok pada Februari 2020 Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad telah hilang kepercayaan daripada parti yang beliau ketuai, parti Bersatu ketika itu.

“Beliau tidak seiringan dengan keputusan partinya yang mahu bertindak keluar meninggalkan kerajaan PH lantas beliau bertindak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana telah hilang kepercayaan daripada partinya.

“Mengapa sebab beliau membuat keputusan demikian? Kerana beliau sudah tidak ada lagi mandat daripada partinya.

“Jadi tindakan meletakkan jawatan itu mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan roboh,” katanya.

Sementara itu, kata beliau, berbeza dengan apa yang berlaku baru-baru ini, sebahagian daripada Ahli Parlimen Umno yang mana telah bertindak keluar daripada kerajaan sejak 3 Ogos lepas.

“Kerajaan Perikatan Nasional ketika itu mempunyai majoriti di Dewan Rakyat iaitu memiliki 115 kerusi, 15 daripada 38 Ahli Parlimen Umno bertindak keluar daripada kerajaan lalu kerajaan telah hilang majoriti.

“Daripada 115 keluar 15 tinggal 100. Sedangkan majoriti mudah dalam dewan rakyat kita pada hari ini adalah 111 jadi lantas menurut Perlembagaan Negara Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Perdana Menteri sudah tidak lagi memiliki majoriti di Dewan Rakyat maka beliau perlulah meletakkan jawatan.

“Itu apa yang berlaku, dua senario yang berbeza satu Perdana Menteri roboh rumahnya sendiri, satu lagi rumah diroboh daripada dalam.

“Apapun alhamdulillah hari ini kita lihat kerana dinamiknya politik Malaysia, insya-Allah kita akan menyaksikan kerajaan ini dibina semula. Ini pandangan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian di dalam Bicara Harakah bertajuk ‘Politik Malaysia: Apa Seterusnya’ yang bersiaran langsung di Facebook Harakahdaily, malam tadi.

Program bual bicara yang dikendalikan Hezry Yasin itu turut menampilkan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai ahli panel. – HARAKAHDAILY 19/8/2021

- Advertisement -