Muafakat Muslimin

- Advertisement -

DI manakah umat?

Pendirian PAS masih konsisten untuk menyatu padukan umat Islam. Tapi, adakah kita sedar, bahawa orang Islam itu bukan semuanya tegar atas nama parti politik. Bukan semua orang Islam terkumpul dalam Umno, BERSATU mahupun PAS.
Di luar sana, ada umat Islam yang terlibat dengan politik sekadar ikut-ikut. Ada juga yang dah ‘bersara’, meninggalkan dunia politik dan ada juga yang sudah menyampah dengan politik. Di sana betapa banyaknya NGO-NGO Islam. Betapa ramainya orang Islam yang kaki masjid, kaki kuliah, kaki persatuan, guru pondok, staf kerajaan dan ramai lagi. Ada di kalangan mereka yang berada di ‘luar’ dimensi politik.

- Advertisement -

Apa yang mereka mahukan? Mereka mahukan idea-idea Islam, mereka mahu melihat Islam itu terlaksana ataupun diusahakan secara serius, bukan bermain-main. Banyak lagi impian serta harapan mereka. Ada tak kita rancang untuk menyatukan antara kita dan mereka? Kita satukan mereka dalam satu wadah, iaitu Islam. Kalau kita bawa Islam, insya-Allah mereka dapat bersama. Kalau kita hanya perkudakan nama Islam untuk kepentingan sendiri, jangan harap mereka akan bersama.

Allah S.W.T berfirman:

لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَّا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ

“Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka…”

(al-Anfal: 63)

Ayat ini jelas bahawa dengan sogokan, tawaran kekayaan dan sebagainya belum tentu dapat mengikat hati-hati manusia. Akan tetapi Allah S.W.T sahaja yang berkuasa mengikat hati-hati mereka. Selaras dengan pendirian dan slogan PAS untuk menyatukan umat Islam, kita jangan lupa untuk menarik umat di luar sana. Iaitu golongan yang di luar dimensi MN mahupun PN. 

Menyatukan hati umat

Bagaimanakah caranya? Iaitu dengan menzahirkan komitmen yang sebenar untuk membawa idea-idea Islam sebagai sebuah sistem negara. Antara kelemahan kita yang perlu diperbaiki ialah kurangnya kemampuan untuk ’convert’ nas-nas al-Quran dan Hadis menjadi sebuah sistem hidup atau negara.

Kepayahan ini disebabkan ketebalan Sekularisme yang sudah sekian lama terpasak di dalam minda-minda umat Islam. Umat di luar sana inginkan idea-idea segar daripada Islam, yang selama ini mereka sangat sukar melihatnya disebabkan ketebalan Sekularisme. Justeru, komitmen yang perlu kita zahirkan ialah mengemukakan idea-idea Islam luar dari belenggu Sekularisme itu.

Kita perlu sedar, umat tidak perlukan jenama politik. Umat hanya mengharapkan masalah mereka diselesaikan cara Islam. Mereka sudah bosan untuk melihat politik itu bersarkas di hadapan mereka. Mereka ingin melihat satu komitmen yang bersungguh-sungguh. Iaitu komitmen yang membawa idea Islam bukan secara lakonan. Ini kerana, ia perlu dilakukan dengan penuh ikhlas kerana Allah S.W.T, kerana hati-hati umat berada dalam genggamanNya.

Sekiranya kita betul ikhlas untuk membawa Islam, insya-Allah, Allah S.W.T akan menggerakkan hati-hati umat untuk bersama dalam perjuangan ini. Sekiranya kita semata-mata mengejar kepentingan peribadi atau berolok-olok membawa Islam (hakikatnya tidak), maka Allah S.W.T tidak pandang pun apa yang kita usahakan itu. Apatah lagi hati-hati umat.

Ikatan hati Ashabul Kahfi

Allah S.W.T menceritakan mengenai ikatan hati di kalangan Ashabul Kahfi:

وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَٰهًا ۖ لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا

“Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.””

(al-Kahfi: 14)

Ayat ini menjelaskan bahawa ikatan hati di kalangan mereka atas dasar keimanan yang jelas, dan slogan yang jelas. Iaitu slogan mengesakan Allah S.W.T yang menciptakan langit dan bumi. Berbeza dengan ketetapan pemerintah di zaman mereka yang memprogramkan agar pangkat ketuhanan itu diberikan pada raja.

Hujah rasional yang mereka kemukakan juga jelas, iaitu membuktikan keTuhanan Allah S.W.T melalui penciptaan alam. Sedangkan tidak ada sebarang hujah yang rasional untuk menyembah raja di zaman mereka itu. Sebab itulah dalam ayat 15 Surah al Kahfi menyebut:

لَّوْلَا يَأْتُونَ عَلَيْهِم بِسُلْطَانٍ بَيِّ

Justeru, kita perlu fahami bahawa ikatan hati yang sebenar, bukanlah atas dasar kepentingan. Sebaliknya atas dasar pegangan yang sama, dan masing-masing mempunyai hujah yang jelas terhadap pegangannya itu. Sekiranya mempunyai pegangan yang sama, namun tidak didasari dengan hujah yang jelas, bimbang akan melahirkan generasi yang taksub.

Realiti Ashabul Kahfi pada hari ini

Dalam membicarakan mengenai kesatuan hati Ashabul Kahfi, kita perlu sedar bahawa mereka itu berhadapan dengan sistem sesat yang ditetapkan oleh raja mereka. Sistem tersebut tidak berpaksikan kepada keterangan yang jelas. Rakyat negara itu hanya tahu mengikut sahaja dan tidak mahu berfikir untuk ‘kontra’ terhadap ketetapan itu. Maka, muncullah golongan Ashabul Kahfi yang menegakkan kebenaran yang didasari dengan hujah. 

Bagaimana dengan realiti hari ini? Sepertimana yang saya nyatakan tadi, umat sedang ‘dibebani’ dengan Sekularisme sehingga mereka tidak mampu untuk melihat sistem Islam. Ya, mereka tahu Islam itu terbaik. Tetapi bagaimana yang dikatakan sistem yang terbaik itu? Inilah yang mereka harapkan daripada kita.

Dunia hari ini didominasi dengan Liberalisme Kapitalisme. Negara-negara Timur pula membawa konsep Sosialisme Komunisme dan sebagainya. Ekonomi dunia didominasi dengan Kapitalisme sejak sekian lama. Masing-masing tidak jumpa jalan keluar, melainkan terpaksa menghadap sistem-sistem itu.

Umat terpaksa terbeban dengan hidup yang penuh dengan cukai cara Kapitalisme. Terbeban dengan gaya hidup generasi muda yang semakin meng’Hedonisme’. Mereka mencari-cari di manakah solusi Islam untuk membina negara? Inilah gambaran penguasaan sistem Barat terhadap dunia yang boleh difahami daripada kisah Ashabul Kahfi.

Walaupun kita tidak katakan umat hari ini dipaksa untuk ‘menyembah’ Amerika, namun disebabkan sistem yang mereka tanamkan, seolah-olah umat itu terbelenggu. Tidak temui jalan keluar. Di sinilah mereka mengharapkan cahaya dan petunjuk serta keterangan yang jelas.

Menarik umat dengan keterangan

Islam adalah agama yang jelas, dan semua keterangannya jelas. Ia bukan didasari dengan mistik dan misteri. Allah S.W.T berfirman mengenai 3 ciri-ciri al-Quran:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah…”

(al-Baqarah: 185)

Ada 3 ciri-ciri al-Quran yang dijelaskan:

1. Petunjuk.
2. Keterangan yang menjelaskan petunjuk.
3. Menjelaskan perbezaan antara kebenaran dan kebatilan.

Ketiga-tiga unsur ini merupakan kelainan antara Islam dan ideologi-ideologi yang lain. Tidak ada satu ideologi pun yang mampu untuk melahirkan masyarakat yang ideal, sepertimana yang diimpikan mereka. Dunia Barat terus menerus mereka-reka sistem buatan mereka dan belum mampu membuktikan kejayaan mereka. 

Justeru, kita perlu faham bahawa untuk menarik hati-hati umat bukanlah dengan membentangkan segala kepentingan duniawi, ataupun ideologi-ideologi Barat, akan tetapi dengan Islam. Umat nak melihat, di manakah Islam yang dikatakan memberikan petunjuk itu. Mereka nak lihat di manakah yang dikatakan keterangan-keterangan dalam Islam. Mereka juga mahu saksikan manakah yang dikatakan Islam itu membezakan antara kebenaran dan kebatilan.

Inilah ramuan-ramuan yang perlu dipersembahkan kepada mereka. Demi untuk menyatukan umat. Umat di luar sana mempunyai akal. Maka, dengan ketiga-tiga unsur ini akan meraikan tabiat akal mereka. Tetapi selagi mana kita terikut dengan cara Barat untuk menarik hati umat, maka selagi itulah kita akan temui jalan yang buntu. 

Oleh itu, kurangkan sedikit skala keasyikan berpolitik, kepada memberi fokus yang lebih untuk memberi keterangan kepada umat mengenai Islam. Ya kita tahu bahawa dalam Islam itu adanya politik, tetapi bukannya Islam itu hanya ada politik sahaja. Bawakan keterangan Islam, dan lorongkan kepada umat bagaimana Islam itu menguruskan politik.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 17/8/2021

- Advertisement -