Kementerian Wanita perkenal dana khas bantu ibu tunggal

Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZAIN

KUALA LUMPUR:
Pertama kali dalam sejarah negara sejak merdeka seorang ahli parlimen wanita PAS dilantik sebagai timbalan menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ia menyaksikan seorang muslimat bertudung labuh sering turun padang menemui rakyat.

Sebelum ini Siti Zailah yang lebih mesra dengan panggilan Kak Lah sanggup meredah arus banjir di Rantau Panjang bagi menghantar bantuan kepada mangsa banjir.

- Advertisement -

Namun selepas dilantik sebagai timbalan menteri langkahnya semakin jauh sehingga ke seluruh ceruk pelosok negara bagi menghadiri program anjuran kementerian dan melawat rakyat.

Pada era PN kementerian terbabit memperkenalkan dana khas untuk membantu golongan ibu tunggal.

Siti Zailah berkata, kerajaan PN menyampaikan sumbangan kepada lebih 160,000 ibu tunggal di seluruh negara.

Sedangkan sebelum itu katanya belum ada bantuan seumpama itu daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk ibu-ibu tunggal.

“Ini menunjukkan keprihatinan kita. Bermula dari zaman kerajaan PN bantuan itu diperkenalkan bagi membantu ibu-ibu tunggal yang berdepan dengan kesulitan hidup,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Selain itu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mewujudkan kerjasama dengan kementerian-kementerian lain.

Antaranya kerjasama bersama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyelesaikan berkaitan premis tadika, pusat jagaan kanak-kanak, taska atau tempat asuhan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Siti Zailah yang juga ahli parlimen Rantau Panjang berkata, melalui kerjasama dengan kementerian lain dapat mempermudahkan urusan termasuk memastikan kebajikan pekerja-pekerja wanita sama ada di sektor awam atau swasta.

Menurutnya juga kerjasama turut dijalinkan dengan Kementerian Hal Ehwal Agama.

“Kerjasama itu termasuk dengan JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri untuk membekalkan bahan-bahan bacaan dan maklumat kepada wanita-wanita yang bersalin terutama keluarga B40.

“Di samping itu menjadikan masjid menjadi pusat transit yang dikendalikan di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) untuk menangani isu keganasan rumahtangga,” ujarnya.

Manakala kerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menangani masalah mental dan pemberian vaksin.

Siti Zailah juga berkata kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk menangani masalah gejala sosial dalam kalangan siswa dan siswi yang melibatkan diri dengan kegiatan sugardaddy dan sugarbaby.

Kata beliau juga terdapat 66 institusi di bawah kementerian tersebut yang perlu ditambahbaik yang melibatkan anak-anak yang berumur 18 tahun ke bawah.

Kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan pula untuk memastikan kebajikan dan keperluan belia yang berumur 18 tahun setelah mereka keluar daripada alam persekolahan.

“Belia-belia terbabit diselaraskan supaya mereka dapat mengikuti latihan di institut-institut latihan yang ada di bawah Kementerian Belia dan Sukan termasuk juga menimba pengalaman sebagai sukarelawan.

“Sebenarnya kita di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat banyak membantu meningkatkan vaksinasi terutama kerjasama bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN),” ujarnya yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan.

LPPKN merupakan salah satu agensi yang berada di bawah kementerian terbabit mengadakan bas-bas bergerak di seluruh negara untuk membantu pemberian vaksin dengan secara cepat kepada masyarakat. – HARAKAHDAILY 17/8/2021

- Advertisement -