Dasar luar kerajaan PN bawa banyak manfaat

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KETIKA
dilanda wabak Covid-19, Malaysia tidak putus-putus menerima bantuan bekalan vaksin dari negara sahabat yang membolehkan kerajaan meningkatkan usaha mengawal penularan wabak yang semakin mencengkam negara ini.

Pemberian vaksin adalah antara strategi utama kerajaan untuk mengekang penularan virus ini, selain beberapa tindakan seperti memperkenalkan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang wajib dipatuhi setiap rakyat.

Ketika kebanyakan negara berlumba-lumba membeli vaksin, negara kaya dan maju mempunyai kelebihan berbuat demikian menyebabkan negara lain, terutama negara sedang membangun dan kurang kemampuan kewangan jauh ketinggalan.

- Advertisement -

Walaupun bertindak pantas dengan membeli vaksin untuk keperluan rakyat, Malaysia bertuah kerana beberapa negara sahabat memberi sumbangan vaksin dalam jumlah yang besar untuk merancakkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Mungkin bagi sesetengah pihak, ini adalah perkara biasa. Realitinya, tanpa dasar luar kerajaan sebelum ini yang diterajui Perikatan Nasional (PN) bersahabat dengan negara luar, tidak mungkin ada negara mahu menghulurkan bantuan secara percuma kepada Malaysia.

Pada Julai lalu, Republik Rakyat China menyumbang sebanyak 500,000 dos vaksin Sinovac kepada Malaysia, Jepun pula menyumbangkan 1 juta dos bekalan vaksin AstraZeneca, United Kingdom (UK) menyumbang 415,000 dos vaksin AstraZeneca dan Amerika Syarikat pula menyumbang sebanyak 1 juta dos vaksin Pfizer.

Kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pula bakal menghantar 1 juta dos vaksin selepas menyumbang 20,000 kit ujian RT-PCR pada Mac tahun lalu dan 7 tan cecair sanitasi tangan khusus untuk Wisma Putra yang telah diagihkan kepada barisan hadapan diplomatik di Malaysia dan di luar negara.

Arab Saudi pula yang prihatin dengan keadaan pandemik di Malaysia menghantar lima buah kapal terbang membawa peralatan perubatan dan vaksin.

Kementerian Luar yang ketika itu diterajui Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, dengan pengalaman luasnya membolehkan kerajaan PN mendapat perhatian negara sahabat yang memberikan bantuan ketika diperlukan. Ini adalah antara kejayaan besar sepanjang PN menerajui negara.

Sebagai negara kecil, bantuan dari kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, adalah pengiktirafan terhadap kepentingan dan kedaulatan Malaysia. Ia juga membuktikan dasar Malaysia yang tidak berpihak kepada mana-mana blok.

Keputusan Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, menitahkan Pusat Tindakan Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief) supaya segera menyalurkan sumbangan peralatan perubatan dan sebarang keperluan kepada Malaysia juga amat menarik.

Ini membuktikan hubungan baik antara kerajaan PN dan Arab Saudi, sebuah negara yang amat berpengaruh di dunia Islam Begitu juga bantuan dari UAE, menunjukkan hubungan erat Malaysia dengan negara Islam yang penting di rantau Teluk.

Berbeza dengan Kementerian Luar yang menjaga hubungan negara di peringkat antarabangsa, Kementerian Wilayah Persekutuan mungkin sebuah kementerian kecil yang menjaga tiga Wilayah Persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Walaupun kecil, tiga wilayah ini sangat penting kerana bertaraf ibu negara, pusat pertadbiran negara dan pusat kewangan pesisir pantai antarabangsa.

Antara kejayaan kementerian diterajui mantan menterinya, Tan Sri Annuar Musa ialah Kuala Lumpur menjadi antara ibu kota terawal di negara ini mencapai imuniti kelompok apabila lebih 80 peratus populasi dewasa lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan juga bekerjasama dengan Hotel Grand Seasons di Kuala Lumpur untuk menubuhkan Rumah Prihatin @Grand Season bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Rumah Prihatin @GrandSeasons yang beroperasi secara berperingkat mulai 15 Julai lalu, menjadi premis yang berkonsepkan hotel kebajikan dengan menjalankan kegiatan sukarela berkaitan perkhidmatan pengawalan penularan wabak tersebut.

Idea kreatif ini juga adalah satu platform untuk menghimpunkan, mengkoordinasi dan merawat mereka yang terkesan akibat Covid-19.

Legasi lain yang ditinggalkan oleh kementerian ini sepanjang pentadbiran kerajaan PN, termasuk usaha berterusan membantu rakyat tanpa tempat tinggal di Kuala Lumpur, Program MY5, iaitu bantuan khas untuk warga Wilayah Persekutuan serta memberikan diskaun 50 peratus kepada penyewa rumah dan premis niaga.

Wilayah Persekutuan menjadi wilayah bebas berniaga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), menghentikan rancangan pembangunan di tanah antara Taman Intan Baiduri dan Sungai Jinjang yang dirancang untuk dijadikan taman awam.

Pada era kerajaan PN juga, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) secara serius dan berterusan, membersihkan Pasar Borong Kuala Lumpur dan menangani kehadiran pekerja asing, selain bertindak terhadap premis niaga dikendalikan warga asing. – HARAKAHDAILY 17/8/2021

- Advertisement -