Vaksin COVID-19 untuk ibu hamil

- Advertisement -

SAYA mengambil maklum kenyataan Tan Sri Dato’ Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia mengenai peningkatan jangkitan COVID-19 dalam kalangan ibu hamil.

Sepanjang Jun 2021, 17 kes kematian direkodkan di mana 15 kes belum divaksin dan 2 kes menerima 1 dos vaksin. Alhamdulillah, daripada 146,759 orang ibu hamil yang mendaftar di MySejahtera, 20 peratus daripadanya telah lengkap menerima 2 dos vaksin.

- Advertisement -

Saya juga menerima beberapa aduan berkenaan para suami yang tidak mengizinkan isterinya yang hamil untuk menerima vaksin. Ingin saya jelaskan bahawa vaksin COVID-19 adalah selamat. Adalah menjadi hak setiap wanita untuk mendapatkan ikhtiar perlindungan melalui program vaksinasi yang disediakan oleh kerajaan. Berbincanglah dengan baik dan saya pasti ramai pakar di Pusat Pemberian Vaksin sudi membantu untuk meleraikan pertanyaan dan kekeliruan berkenaan vaksin COVID-19.

Hasil maklumat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta perbincangan oleh ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI yang terdiri daripada para Mufti dan Ahli Dilantik Majlis Raja-raja pada 12 Ogos 2021M bersamaan 3 Muharam 1443H dalam aplikasi WhatsApp, maka Muzakarah telah mengambil ketetapan seperti berikut:

i) Bersetuju memperakukan keputusan terdahulu dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-10 Tahun 2020, iaitu; Hukum Penggunaan Vaksin COVID-19 adalah harus dan ianya wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia; dan

ii) Sebagaimana yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, adalah amat penting pengambilan vaksin COVID-19 bagi ibu hamil dengan mengikut nasihat pegawai perubatan bagi mengurangkan risiko komplikasi sekiranya dijangkiti COVID-19.

Muzakarah juga menasihatkan kepada semua Umat Islam untuk mematuhi arahan pihak berkuasa berhubung hal ini.

YB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 13/8/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/351166779703838/posts/387828876037628

- Advertisement -